KEMENTERIAN Pertahanan akan menyiasat dakwaan kes buli membabitkan seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan. Menurutnya, siasatan itu akan mengenali pasti pelaku dan mungkin termasuk langkah menempatkan warden di setiap asrama pegawai kadet. Tambahnya, ia susulan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membasmi kejadian buli di semua institusi pendidikan di seluruh negara. "Kita mesti faham kes ini melibatkan UPNM dan ALK yang bertanggungjawab ke atas pelajar itu. "Bagaimanapun, kita tidak akan sesekali berkompromi dengan apa juga kes buli seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, dan kita tidak boleh untuk melepaskan begitu sahaja," katanya kepada pemberita di Masjid UPNM, pada Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: PM beri amaran, arah KPT dan menteri jangan tolak ansur budaya buli di kampus ARTIKEL BERKAITAN: Jurulatih nampak kesan cedera di tubuh, pegawai kadet UPNM dakwa dibuli senior Zambri berkata, UPNM dan ALK beroperasi di bawah struktur yang unik di mana pelajar berada di bawah tanggungjawab UPNM bagi mengikuti kuliah bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dan kemudiannya daripada jam 5 petang hingga pagi keesokan harinya di bawah bidang kuasa ALK. Terdahulu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di ALK, UPNM yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior. Menurut ATM, ia membabitkan pelajar kadet yang dibuli menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur yang mana insiden itu menjadi tular di media sosial. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube