LELAKI yang videonya tular gara-gara menumbuk seorang pemandu wanita dalam kejadian di Jalan Persiaran Senawang 4 pada Sabtu, sudah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, lelaki berusia 35 tahun yang merupakan anggota tentera itu ditahan ketika dipanggil ke balai polis untuk memberi keterangan.
"Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 323 kerana menggunakan kekerasan terhadap mangsa berusia 28 tahun hingga menyebabkan kecederaan lebam di bahagian rusuk kanan dan bengkak di belakang kepala.
"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kerosakan kepada kereta mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, video memaparkan seorang lelaki berbaju merah menumbuk pemandu wanita yang memandu Perodua Axia menjadi tular sehingga mengundang kecaman netizen.
ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh abang baju merah tumbuk wanita pandu Axia, saksi tampil dedahkan cerita sebenar... Dua kali hayun di kepala!
Dia bertindak demikian kerana berang gara-gara anaknya didakwa dilanggar pemandu wanita berkenaan.
Menerusi penjelasan di akaun TikTok Fattyaazi, iaitu individu dipercayai adik kepada pemandu wanita berkenaan mendakwa kakaknya ditumbuk dua kali oleh pelaku.
Menerusi akaun yang sama, dalam hantaran terbaru yang dimuat naik pemiliknya, ia turut meluahkan kelegaan kerana pelaku sudah ditangkap polis.
"Pelaku dah ditangkap. Keluarga driver takkan tarik balik kes.
"Terima kasih yang support, membantu dan viralkan video saya sebagai bukti pemandu Axia tak bersalah.
"Sekadar pesanan buat semua dan diri sendiri, berhati-hatilah di jalan raya, berhati-hati dalam apa jua keadaan. Berfikir sebelum bertindak," demikian tulisnya.