"Saya minta laporan tersebut dipinda dan diperbetulkan untuk mengelak berlaku salah tafsir mengenai apa yang diperkatakan dalam laporan yang tidak betul itu," kata Rozali dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebuah akhbar melaporkan Rozali berkata, radar militari telah mengesan pesawat tersebut di sekitar Pulau Perak di Selat Melaka kira-kira pukul 2.40 pagi Sabtu sebelum isyarat hilang tanpa dapat dikesan.
Rozali berkata TUDM tidak menolak kemungkinan pesawat itu berpatah balik sebelum ia hilang dari radar.
Beliau berkata TUDM sedang menyiasat dan menganalisa apa jua kemungkinan dengan mengambil kira laluan pesawat tersebut sebelum ia dilaporkan hilang.
"Buat masa ini, tidak sesuai bagi kami (TUDM) untuk membuat sebarang kesimpulan secara rasmi sehingga pengesahan diperolehi.
"Namun operasi mencari buat masa ini diperluaskan bagi memastikan sebarang kemungkinan tidak terlepas pandang," katanya.