suria

Usaha Habis-Habisan Dalam Pencarian MH370 - Najib

Najib meluangkan masa berjumpa dengan ahli keluarga nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH 370 Kuala Lumpur-Beijing yang dipercayai hilang dari radar ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Malaysia bersatu hati dan bersama-sama menyokong segala usaha habis-habisan yang sedang dilakukan untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak Sabtu.

"Kita kena bersama-sama dengan segala usaha yang dilakukan kerajaan, bersatu hati dan berdoa," kata perdana menteri ketika ditemu bual stesen televisyen AlHijrah pada Rabu.

"Mudah-mudahan Insya-Allah apa yang kita harapkan sesuatu pengetahuan yang boleh menutup isu ini sama sekali akan dapat kita kesan tidak berapa lama lagi," katanya.

Najib mengingatkan bahawa bagi umat Islam, mereka diajar supaya menerima hakikat bahawa Allah menentukan segala-galanya, dan perlu menerima qada dan qadar Ilahi.

"Kita perlu menghadapi ujian besar Allah ini dengan penuh ketenangan, kita mesti berusaha sedaya upaya kita, dengan segala kemampuan dan kekuatan yang ada pada kita.

"Ini yang sedang diusahakan habis-habisan oleh kerajaan," katanya.

Najib berkata walaupun dengan segala kecanggihan teknologi yang ada, akhirnya umat Islam perlu menerima bahawa mereka hanyalah manusia biasa yang lemah dan kerdil.

"Sememangnya pesawat Boeing 777 antara yang paling canggih yang ada track record amat baik. Kita mempunyai segala pengalaman dalam pengendalian pesawat ini, tapi akhirnya kita kena terimalah, kita ni manusia biasa (yang) lemah dan kerdil, kepada Allah juga kita berserah," katanya.

Perdana menteri berkata beliau juga amat memahami perasaan keluarga penumpang dan krew pesawat berkenaan yang tidak akan berpuas hati melainkan mereka mendapat perkhabaran yang tepat tentang nasib orang tersayang.

"Keluarga yang terlibat juga perlu sedar ini satu kejadian yang tak diduga sama sekali dan kita kena faham bahawa segala usaha sedang dilakukan dan secara bersungguh-sungguh.

"Macam mana pun sebagai orang Islam, kita kena terima hakikat bahawa Allah yang menetukan segala-galanya. Ujian Allah ini, ketika kita sedang senang dan mewahpun diuji, ketika kita menghadapi musibah atau balapun kita diuji," katanya. 

Najib menegaskan bahawa kerajaan dengan bantuan sembilan buah negara dan berbekalkan peralatan yang canggih, bertungkus-lumus dalam usaha mengesan pesawat berkenaan. 

"Kerajaan lakukan segala-galanya (termasuk) tambah aset, pesawat dan kapal dengan peralatan canggih, dengan sonar dan sebagainya dan mudah-mudahan saya yakin Insya-Allah lambat laun kita akan jumpa juga. 

"Soal bila, tapi dalam keadaan sekarang kita terpaksa banyak bersabar dan berdoa," katanya.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing setelah berlepas kira-kira sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam Jumaat.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu.

MH370, MAS, Najib

Artikel Lain