KUALA LUMPUR: Kerajaan Perancis pada Jumaat menawarkan bantuan kepada Malaysia untuk menyiasat kehilangan pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Perdana Menteri berkenaan, Jean-Marc Ayrault, dalam suratnya kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata Pejabat Penyiasatan dan Analisis bagi Keselamatan Penerbangan Awam Perancis bersedia memberikan bantuan kepada Malaysia. Surat Ayrault yang ditulis dalam bahasa Perancis dengan versi terjemahan dalam bahasa Inggeris dihantar menerusi e-mel kepada Bernama oleh Kedutaan Perancis di Malaysia di sini, Jumaat. Sambil menyatakan rasa sedih dan simpati di atas kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu, Ayrault berharap pesawat itu dapat ditemui dengan segera. "Saya ingin memberi jaminan kepada anda, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, tentang pertimbangan tertinggi saya (terhadap usaha ini)," kata beliau. Laporan awal menyatakan terdapat empat penumpang Perancis dalam pesawat itu, yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal. Misi mencari dan menyelamat pesawat itu sudah memasuki hari ketujuh dengan kawasan pencarian diperluaskan ke Lautan Hindi selain dilakukan di Laut China Selatan dan Selat Melaka.