suria

Wanita Umno Melawat Keluarga Penumpang MH370

Shahrizat sedang menenangkan Hasnah Alias (kiri) ibu kepada penumpang MH370, Nor Fadzillah Mat Rahim sambil diperhatikan ibu mertua Puteh Idris (kanan) di Sg Kantan, Kajang. Foto NORAFIFI EHSAN
KAJANG: Pergerakan Wanita Umno berkongsi kesedihan dengan keluarga salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak awal pagi Sabtu lalu.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu turut bersimpati dengan nasib keluarga Nor Fadzilah Mat Rahim, yang turut berada dalam pesawat yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.

"Setelah mendapat tahu ada keluarga penumpang berada di sini, kami datang untuk menziarah untuk membaca Yassin dan doa selamat.

"Kita semua mengharapkan supaya ada berita yang jelas tentang misteri kehilangan pesawat MH370 itu...kita amat bersimpati," katanya.

Beliau ditemui diluar perkarangan rumah Nor Fadzilah, 37, di Kampung Sungai Kantan di sini, Jumaat.

Nor Fadzilah merupakan salah seorang daripada 239 penumpang termasuk 12 anak kapal pesawat MH370.

Kehilangan penerbangan MH370 MAS yang menggunakan pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi, dan 12 anak kapal, menjadi tumpuan dunia apabila hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 pagi pada Sabtu.

Sehingga kini nasib pesawat itu, yang membawa penumpang dari 14 negara termasuk 38 rakyat Malaysia selain 12 anak kapal itu tidak diketahui.

shahrizat, wanita umno, mh370

Artikel Lain