MEKAH: Jemaah haji Malaysia kembali semula ke Makkah pada Selasa secara berperingkat mulai 7.00 pagi (12 tengah hari waktu Malaysia) selepas selesai melontar jamrah di Mina, yang jaraknya kira-kira 10km dari Masjidilharam. Kumpulan pertama meninggalkan Mina sejurus selepas solat Subuh. Pada sebelah petang mereka akan melakukkan rukun haji terakhir iaitu tawaf - mengelilingi Ka'bah sebanyak tujuh kali. Ini diikuti dengan saie, bergerak berlari-lari anak antara safa dan marwah sebanyak tujuh kali sebagai mengingati peristiwa Hajar, isteri Nabi Ibrahim berlari-lari anak mencari air untuk anaknya Ismail ketika mereka tinggal bersendirian di Makkah. Sementara beberapa orang jemaah, termasuk 53 warga emas di bawah program Warga Emas Tabung Haji (TH) dan beberapa jemaah lain yang akan berlepas pulang dalam penerbangan pertama Jumaat ini, meninggalkan Mina semalam selepas menyelesaikan Nafar Awal pada Isnin, 12 Zulhijjah. Sebelum berlepas pulang, jemaah akan melakukan tawaf wida', sering dipanggil tawaf selamat tinggal. Tahun ini, 22,320 warga Malaysia menunaikan haji, dan sehingga kini sembilan meninggal dunia di Tanah Suci. Sementara itu, Zainun Zainuddin, 64, dari Seremban, Negeri Sembilan berkata keadaan cukup mencabar terutama ketika di Mina akibat ruang dan jumlah tandas yang terhad. "(Tapi) haji kalau tidak ada cabaran, bukannya haji," kata beliau. Sementara itu, Noorhanita Razali, 47, dari Kuantan, Pahang berkata Tabung Haji wajar dipuji kerana berjaya mengendali jemaah dengan cekap dan teratur. Sementara itu, Arab News dalam portal berita www.arabnews.com melaporkan bahawa pihak berkuasa Arab Saudi mengumumkan pada Isnin musim Haji 2014 mencapai kejayaan dalam segala segi. Portal berita itu menyatakan pengumuman itu dibuat ketika lebih dua juta jemaah haji, mula meninggalkan Makkah selepas selesaikan melontar jamrah di Mina. Haji, rukun Islam kelima, selesai dengan rasminya pada Selasa pada akhir hari ketiga Tasyrik. Emir Makkah dan Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat Putera Mishal Bin Abdullah berkata ibadat Haji kali ini telah dapat dilakukan oleh para jemaah dengan lancar dan cukup selesa.