PETALING JAYA: Walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Lembah Klang menunjukkan bacaan antara 'baik' dan 'sederhana, pengguna internet dan laman sosial tetap mengadu mengenai jerebu teruk di tempat mereka, Selasa. Pengguna Twitter @IbnuAbdRahman menulis 'jerebu teruk di Ampang, asap amat tebal.' 'Jerebu adalah teruk di Seri Kembangan! Terima kasih," menurut @sitisulwana manakala @zulzaed13 menulis tweet, 'Jerebu di seluruh Shah Alam, mengeluh.' Beberapa pengguna juga menulis tweet bahawa mereka pada mulanya menganggap jerebu tersebut adalah pembakaran terbuka yang dilakukan di kawasan mereka. @YanotAnot menulis, 'ternyata ia adalah jerebu, saya fikir seseorang telah membakar sampah', manakala @AdibAzriShah menulis, 'Saya di rumah tertanya-tanya jika asap ini adalah jerebu atau pembakaran terbuka oleh jiran-jiran saya'. Sehingga pukul 1 tengahari kualiti udara di kebanyakan kawasan di seluruh negara dilaporkan baik dengan tiada kawasan mencatat bacaan IPU tidak sihat. Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), 28 kawasan mencatat bacaan sederhana manakala 23 kawasan lagi mencatat IPU baik. Bacaan IPU sederhana direkodkan di Muar, Johor (92), Bandaraya Melaka (91), Bukit Ramai (89), Larkin Lama (83), Pasir Gudang dan Port Dickson, masing-masing 82. Langkawi merekodkan bacaan IPU baik iaitu 15. Bacaan antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 301 ke atas (berbahaya). Orang ramai boleh merujuk portal JAS di http://www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.