PUTRAJAYA: Hanya 17,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah membuat penebusan eBaucar untuk pembelian perisian perakaunan cukai barang dan perkhidmatan (CBP) berbanding 150,000 syarikat yang menerimanya. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata baucar bernilai RM1,000 setiap satu itu diberikan kepada PKS untuk membeli perisian yang mematuhi sistem perakaunan CBP daripada 77 vendor yang dilantik. Beliau berkata eBaucar yang diuruskan di bawah SME Corp, diperkenalkan sebagai kaedah pantas, segera dan cekap bagi menyebarkan geran kepada PKS untuk membeli atau menaik taraf kepada perisian mematuhi CBP, untuk bersiap sedia bagi pelaksanaan cukai itu pada 1 April ini. "eBaucar tersebut telah dihantar melalui emel kepada syarikat PKS yang layak dan kita harap mereka menggunakan baucar yang diberikan itu," katanya kepada media selepas majlis Penyampaian Sijil kepada Vendor Sistem Perakaunan Untuk CBP, di sini, Jumaat. Sementara itu, Ahmad berkata sehingga Khamis, bilangan syarikat yang mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk CBP adalah sebanyak 311,658. "Namun sekitar 50,000 lagi syarikat masih belum membuat pendaftaran dan mereka ini bakal berdepan kompaun sehingga RM15,000 jika gagal berbuat demikian selepas 28 Februari selain akan didaftarkan 'secara paksa'," katanya. "Mereka yang sepatutnya membuat pendaftaran cukai baharu itu dan tidak boleh mengelak kerana kita ada data dan maklumat mengenai syarikat mereka yang diperoleh daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya. Ahmad berkata mereka yang masih lagi gagal untuk mendaftar mungkin terkeliru mengenai kelayakan bagi pendaftaran CBP. "Kita mahu memperjelaskan sekali lagi bahawa minimum RM500,000 ke atas itu bukan nilai keuntungan setahun tetapi adalah nilai jualan mereka setahun," katanya. Beliau berkata entiti yang masih belum mendaftar bagi CBP itu juga mungkin terkeliru dengan pelepasan beberapa barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai baru itu. "Sebagai contoh, walaupun pendidikan dan rumah kediaman tidak dikenakan CBP, namun pengusaha pusat tuisyen dan kontraktor masih perlu membayar cukai dan jika nilai jualan melebihi RM500,000 mereka perlu membuat pendaftaran GST," katanya.