suria

Ahli Politik Perlu Adil Terhadap Rakyat - Titah Raja Perlis

ARAU: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah angggota politik harus bersikap adil terhadap rakyat tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit dan fahaman politik.

Baginda turut mengingatkan anggota politik supaya melihat tanggungjawab, peranan dan amanah mereka yang disifatkan amat berat dalam perspektif lebih luas.

"Beta mahu ahli-ahli politik tidak melupakan pembangunan yang harus dinikmati oleh rakyat. Jangan politikkan semuanya 100 peratus," titah Tuanku Syed Sirajuddin.

Baginda bertitah pada istiadat penyampaian watikah pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan anggota Exco kerajaan Perlis di Balai Penghadapan Istana Arau di sini, Khamis.

Semua lapan anggota Exco dilantik semula bagi tempoh setahun. Mereka ialah Datuk Sabry Ahmad, Ahmad Bakri Ali, Abdul Jamil Saad, Datuk Mat Rawi Kassim, Japferi Othman, Khairi Hasan, Mat Hassan dan Rela Ahmad.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat sama pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Speaker Dewan Undangan Negeri Hamdan Bahari serta Setiausaha Kerajaan Negeri Romli Dai dan wakil rakyat Barisan Nasional dan pembangkang.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda sedar akan ada pihak tertentu menimbulkan rasa tidak puas hati dan mengkritik baginda kerana membuat peringatan tersebut.

"Mereka boleh kritik tetapi mestilah bagi jawapan penyelesaian masalah. Beta membuat peringatan ini dengan ikhlas kepada semua pihak termasuk kerajaan yang mentadbir negeri dan pembangkang.

"Seperti askar melihat musuh, mereka perlu mencari kelemahan dan kelebihan masing-masing sebelum menyerang. Begitu juga politik yang menjadi darah daging, perkara-perkara berkaitan agama dan adat sebagai contoh perlu dipertimbangkan sebelum membuat sesuatu keputusan," titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah supaya kerajaan Perlis meneruskan agenda pembangunan negeri seiring wawasan negara maju menjelang tahun 2020.

Menurut baginda Perlis harus bergerak pantas supaya menjadi lebih maju atau akan tertinggal berbanding negeri yang telah maju jika berpuas hati setelah mencapai wawasan Perlis Maju 2015.

"Beta ingin berpesan supaya kita sentiasa mengambil pendekatan demi mencapai kemakmuran dan janganlah mengambil tindakan yang merugikan rakyat," titah Tuanku Syed Sirajuddin.

Perlis, Ahli Politik, Exco

Artikel Lain