suria

Sultan Johor Titah JAIJ Tingkat Pemantauan Bendung Ekstremis

JOHOR BAHARU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Khamis menitahkan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) meningkatkan pemantauan bagi membendung penyebaran dakwah Islam yang bersifat ekstremis.

Sultan Ibrahim bertitah pemantauan menerusi ketua kampung, guru agama di setiap daerah dan tindakan penguatkuasaan bersama polis mesti dilakukan segera supaya ancaman berkenaan dapat dihapuskan sebelum menjadi parah.

"Dalam dunia yang berteraskan teknologi internet dan penggunaan media sosial tanpa batasan, pelbagai ancaman dan penyebaran maklumat yang palsu amat mudah untuk sampai kepada semua masyarakat.

"Ini termasuklah penyebaran dakwah agama yang bersifat pelampau atau ekstremis," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Bangunan Sultan Ibrahim, di sini.

Sehubungan itu, baginda menasihatkan semua umat Islam supaya tidak  terikut-ikut fahaman pelampau berkenaan dan perlu bersikap sederhana serta sentiasa berpegang kepada ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sultan Ibrahim, dalam pada itu meminta kerajaan persekutuan menghormati sentimen negeri Johor sebelum memutuskan sebarang persetujuan dengan Singapura kerana segala dasar yang dibuat akan dirasai secara langsung oleh rakyat dan negeri itu.

Baginda bertitah kerajaan negeri juga diharap supaya mengambil peranan aktif dalam hubungan dengan Singapura.

Menurut baginda hubungan rapat antara Johor dan Singapura terjalin sejak dahulu lagi dan kedua-dua pihak saling membantu antara satu sama lain.

"Oleh yang demikian, apa juga dasar kerajaan yang melibatkan kepentingan jiran kita (Singapura) dan hubungan dua hala haruslah dibincangkan dahulu dan mengambil kira pendapat mereka sebelum diputuskan," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, hakikatnya Singapura adalah jiran yang harus dicontohi dalam kemajuan yang dicapai negara itu termasuk perpaduan rakyat yang dibentuk daripada sistem pendidikan asas satu aliran dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Oleh itu, Sultan Ibrahim turut menggesa rakyat Johor supaya berfikiran terbuka terhadap sistem pendidikan negara dan sanggup berubah demi kemakmuran masyarakat dan pembangunan jangka panjang.

Baginda turut melahirkan keyakinan sistem pendidikan sekolah satu aliran akan mewujudkan integrasi kaum di peringkat kanak-kanak seterusnya melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni dan berdaya saing untuk menempuh cabaran akan datang.

"Pendidikan adalah asas pembentukan generasi akan datang. Sekiranya di peringkat kanak-kanak lagi pendidikan dibuat secara berasingan, berasaskan kaum dan bahasa, maka, sampai bila-bila pun akan wujud ruang perbezaan dalam masyarakat majmuk di Malaysia," titah baginda.

Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah detik bersejarah Istiadat Kemahkotaan, 23 Mac lepas, harus diingati dan dihayati maksudnya oleh rakyat negeri ini kerana mahkota merupakan lambang kedaulatan Johor sejak 130 tahun lepas.

Menurut baginda, kedaulatan Johor mesti dipertahankan dan rakyat dengan semangat 'Bangsa Johor' juga perlu sentiasa bersatu padu serta berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan Johor disegani negeri lain.

Baginda turut menasihatkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin kerajaan supaya memperjuang kepentingan rakyat dan tidak sekali-kali mencuba untuk memecahbelahkan rakyat negeri ini, meskipun mereka mewakili parti politik berbeza.

Turut berangkat ke majlis perasmian berkenaan, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

JAIJ, Sultan Johor

Artikel Lain