suria

Ketua Audit Negara Yakin Laporan 1MDB Siap Hujung Tahun

KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang yakin laporan penuh pengauditan terhadap syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya masih menunggu beberapa dokumen daripada 1MDB bagi membolehkan siasatan berjalan lancar, namun akan menggunakan sumber lain sekiranya dokumen yang diperlukan gagal diperolehi.

"Dokumen ada banyak, ada yang dah dapat, ada yang belum. Kita kena minta jugalah.

"Kita yakin (siap), kita masih mencuba untuk dapatkan dokumen tersebut. Kalau kita gagal, kita tak dapat dokumen-dokumen itu, kita akan cuba dapatkan dari sumber lainlah," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bangunan Parlimen, di sini, Khamis.

Ambrin berkata, laporan interim tersebut menunjukkan bahawa siasatan terhadap 1MDB belum siap sepenuhnya.

Justeru, beliau berkata, peluang sentiasa terbuka kepada 1MDB untuk mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan bagi membolehkan laporan lengkap siap pada waktu dijadualkan.

"Beri mereka masa, kita pun belum selesaikan kerja-kerja kita. Semestinya, kita sering berhubungan dengan mereka," katanya.

Mengulas lanjut mengenai alasan kelewatan 1MDB menyerahkan dokumen-dokumen yang diperlukan, Ambrin berkata ia hanya boleh dijawab oleh 1MDB sendiri.

"Mungkin mereka tak ada dokumen itu, kita tak tahu, sepatutnya dokumen itu ada dengan merekalah.

"Tanya mereka (1MDB), jangan tanya saya," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan 1MDB sebelum ini bahawa pihaknya telah memberikan kerjasama penuh untuk siasatan dijalankan Ambrin berkata," itu kata mereka, tapi pihak kita.. masih tunggu dokumen, kita masih jalankan siasatan, banyak dokumen kita perlu lihat," katanya.

Sama ada ketiadaan dokumen akan mengganggu siasatan, beliau berkata ia bergantung kepada jenis dan isu yang disiasat.

Mengenai Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan Wall Street Journal bahawa wang 1MDB telah disalurkan ke akauan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ambrin berkata pasukan yang ditubuhkan itu lebih berkeupayaan untuk menyiasat.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan siasatan tersebut.

"Sekarang ia sudah disiasat oleh Pasukan Petugas Khas, mereka ada kuasa tengok akaun orang, saya tak ada kuasa itu sebaliknya kena melalui Bank Negara dan sebagainya.

"Dalam pasukan itu sendiri sudah ada Bank Negara, biar mereka lakukan siasatan itu," katanya.

Audit, 1MDB

Artikel Lain