KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Khamis menolak permohonan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk memasukkan sabitan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pernyataan pembelaannya berhubung saman fitnah yang dikemukakan Anwar terhadapnya. Pesuruhjaya Kehakiman S. Nantha Balan membuat keputusan itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy dan peguam J. Leela mewakili Anwar. Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menolak permohonan itu selepas memutuskan bahawa Seksyen 43 dan Seksyen 55 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan sabitan kes jenayah tidak boleh digunakan dalam tuntutan kes saman sivil untuk membuktikan reputasi. Peguam itu berkata perbicaraan kes saman itu yang dijadualkan bermula 14 Ogos hingga 21 Ogos ini dilapangkan sementara menunggu rayuan terhadap keputusan pada Khamis, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. Sementara itu, Leela berkata mahkamah turut memerintahkan Khairy membayar kos sebanyak RM5,000 kepada Anwar. Khairy memohon untuk meminda pernyataan pembelaannya bagi memasukkan sabitan kes liwat Anwar terhadap bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas. Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy bagi memohon ganti rugi RM100 juta dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com. Anwar mendakwa klip video itu mengandungi sebahagian ucapan yang dikatakan berbaur fitnah diucapkan Khairy dalam satu ceramah di Lembah Pantai di sini pada atau sekitar 20 Februari 2008. Khairy, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 8 Oktober 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan berdasarkan justifikasi dan perlindungan bersyarat. Pada 6 April lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy bagi memasukkan dapatan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat pertama Anwar pada 2 September 2004, selepas Mahkamah Tinggi pada 9 Oktober 2013, menolak permohonan Khairy untuk meminda pernyataan pembelaannya dalam kes saman itu.