KUALA LUMPUR: Kesungguhan Umno untuk menjalin kerjasama dengan PAS semakin mendapat sambutan di kalangan perwakilan Perhimpunan Agung Umno kali ini. Usaha untuk memancing parti pembangkang yang kini bergerak sendirian itu dilihat lebih ‘galak’ demi memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar pada pilihan raya umum akan datang. Malahan, perwakilan Kedah, Datuk Othman Aziz bagaikan mengakui rencana politik itu sesuatu yang sedang diatur rapi supaya dapat direalisasikan. “Kita nak mengorat (memikat) pembangkang, mungkin dengan semangat baharu Umno-PAS ini...InsyaAllah mungkin satu, dua orang boleh sertai kita. “Strategi kita dengan pembangkang, kalau depa (mereka) tak suka kat kita pun, tapi kalau depa tak sampai cerca atau tak ada iltizam nak bunuh kita, masih OK,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2015 di sini, Jumaat. Pada Khamis, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menghulurkan "tali silaturahim" kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya. Najib, yang juga Perdana Menteri melahirkan rasa gembiranya kerana PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas "disepak dan diterajang keluar" oleh rakan-rakan pembangkangnya. Selain itu, Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerlun berkata, Umno Kedah berhasrat untuk menambah kemenangan di beberapa kerusi pada pilihan raya umum akan datang. “Matlamat di Kedah kita nak retain dan regain, mempertahankan kerusi yang menang dan merampas beberapa kerusi yang dimenangi pembangkang. “Tapi kita faham pembangkang juga begitu. Sebab itu kita perlu bersedia daripada sekarang,” katanya sambil berharap komponen BN yang lain turut mengambil inisiatif yang sama.