KUCHING: Rakyat perlu berfikir dengan minda yang jelas mengenai apa itu fakta kebenaran penuh, separa kebenaran, cerita rekaan semata-mata dan pendapat peribadi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri memberi contoh seorang pemimpin yang pernah memimpin negara selama 22 tahun menganjurkan program kononnya 'Deklarasi Mahathir', sedangkan ia sebenarnya bukan deklarasi dipersetujui rakyat Malaysia sepenuhnya. Beliau berkata sebahagian besar rakyat termasuk di Sarawak tidak menyetujui deklarasi itu. "Janganlah buat deklarasi rakyat (dengan tujuan) nak mengaburi mata rakyat, nak jadikan agenda peribadi sebagai agenda rakyat,...(sebenarnya) ia bukan mengenai rakyat, ia mengenai agenda peribadi," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran program Minda di Tebingan Sungai Kuching di sini Sabtu. Kira-kira 5,000 pengunjung membanjiri Tebingan Sungai Kuching seawal 8 pagi untuk turut bersama-sama Perdana Menteri memeriahkan program tiga hari anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) itu. Najib seterusnya memberi contoh tekad kerajaan untuk menjadikan pembangunan di Sarawak sebagai satu 'kemestian', yang menurutnya adalah agenda rakyat yang sebenar. Perdana Menteri berkata rakyat perlu memiliki minda yang jelas bagi membezakan apa itu agenda kebenaran atau fakta, dan 'auta'. Beliau berkata faktanya ialah kerajaan melaksanakan semua janjinya, sedangkan pembangkang hanya boleh boleh menjanjikan segalanya, namun kebanyakan janjinya tidak mungkin dapat ditunaikan. Najib berkata sebarang rundingan dalam apa jua bidang, hakikatnya adalah mudah bagi kerajaan Persekutuan untuk berunding dengan kepimpinan kerajaan negeri yang sehaluan atau 'sepasukan' dengannya.