PETALING JAYA: Seorang lelaki warga tempatan ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah hotel bajet di Damansara Damai di sini, Jumaat malam. Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa berusia 39 tahun yang berasal dari Semenyih, Selangor ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai bilik hotel berkenaan oleh seorang pekerja hotel. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata siasatan awal mendapati mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala. "Mangsa dipercayai dipukul di kepala dan kami akan teliti rakaman kamera litar tertutup di hotel ini untuk mengesan suspek," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, lewat malam tadi. Beliau berkata mangsa menginap di hotel berkenaan sejak Isnin lepas, bersama lima rakannya yang dipercayai warga tempatan. "Kami sedang mengesan semua rakan mangsa bagi membantu siasatan dan motif kejadian masih disiasat. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya.