suria

Terpulang Kepada Proton Tentukan Jawatan Tun M - Rahman Dahlan

Datuk Abdul Rahman Dahlan
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh berada dalam Petronas dan dalam masa yang sama menentang kerajaan, kata Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan berhubung penyingkiran bekas perdana menteri itu sebagai penasihat Petronas.

"Dalam keadaan sekarang, kedudukannya sebagai penasihat Petronas jelas tidak dapat dipertahankan. Dia tidak boleh bersama dengan Petronas dan dalam masa yang sama mengkritik kerajaan," kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam akaun Twitter rasmi beliau, @mpkotabelud.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, memberi jawapan kepada pengikut-pengikut di Twitter yang bertanya adakah keputusan Kabinet menamatkan pelantikan Dr Mahathir itu akan dapat menutup mulut bekas perdana menteri.

"Tidak. Saya tidak fikir begitu. Dan tiada siapa menjangka ia akan jadi seperti itu," kata Abdul Rahman, yang menggunakan Twitter untuk mengulas mengenai penyingkiran Dr Mahathir daripada jawatannya.

Walau bagaimanapun, ketika ditanya sama ada Dr Mahathir akan disingkirkan daripada Proton, Abdul Rahman berkata ia terpulang kepada pemegang sahamnya.

"Proton adalah sebuah syarikat swasta. Jadi terpulang kepada pemegang saham mereka, bukan Kabinet. Tetapi saya ucapkan selamat maju jaya kepada Proton," katanya terhadap Dr Mahathir yang memegang jawatan Pengerusi Proton Holdings.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain