BAKAL juruterbang kini akan lebih yakin mengendalikan pesawat apabila menjalani latihan di Pusat Kecemerlangan Penerbangan Asia (AACE) menggunakan simulator penerbangan terbaharu di Asia Pasifik. Bernilai RM40 juta yang dilengkapi perisian tercanggih yang membolehkan penerbangan dilakukan pada altitud yang lebih rendah berbanding aras biasa, ia dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. Ciri terbaru yang dimiliki simulator penerbangan A330 CAE 7000XR ini menawarkan visual berteknologi tinggi yang mampu memberi isyarat visual yang menyeluruh kepada bakal juruterbang melalui imej satelit, persekitaran lapangan terbang yang dinamik serta pangkalan data dunia secara berterusan. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan Upset Prevention and Recovery Training (UPRT) yang direka bagi memberi panduan terhadap tindak balas yang perlu dilakukan jika terdapat sebarang kesalahan semasa mengendalikan pesawat.