suria

Tuanku Abdul Halim Sertai Ribuan Jemaah Solat Aidilfitri Di Masjid W.Persekutuan

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (empat, kanan) berkenan bertakbir bersama jemaah sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Kuala Lumpur, Rabu. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (lima, kanan) dan Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kanan). -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada Rabu berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini bersama-sama ribuan jemaah.

Seri Paduka berdua berangkat tiba di masjid itu kira-kira 8.30 pagi dengan diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa menteri kabinet.

Turut hadir dif-dif kehormat serta perwakilan asing.

Tuanku Abdul Halim dan para jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertindak sebagai khatib.

Sejurus selesai khutbah Aidilfitri, Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah kemudian beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang bersalaman dengan baginda berdua.

Terdahulu, Seri Paduka berdua berkenan menerima menghadap perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta isteri masing-masing dan anggota Jemaah Menteri bersempena Aidilfitri di Istana Negara.

Sementara itu, Jamil Khir ketika menyampaikan khutbah bertajuk 'Aidilfitri Medan Mempertingkatkan Takwa' selepas solat sunat itu menyatakan bahawa kejadian letupan bom yang berlaku di Turki dan Bangladesh serta terbaru di Madinah sangat menyentuh hati umat Islam.

Katanya semua kejadian itu telah menggugat ketenteraman dan keharmonian di kalangan umat Islam terutama kejadian di Madinah yang berlaku di bumi Rasulullah SAW dan dianggap suci oleh seluruh umat Islam.

"Oleh yang demikian marilah kita bermuhasabah tinggi dan mengambil kesabaran yang besar di atas peristiwa di Madinah," katanya.

Beliau berkata kejadian di Malaysia pula iaitu di Puchong baru-baru ini yang juga didalangi kumpulan sama seperti serangan di Madinah seperti yang dinyatakan Polis Diraja Malaysia turut menguji umat Islam di negara ini.

Jamil Khir berkata insiden itu jelas memberi isyarat kepada umat Islam di negara ini tanpa mengira budaya untuk membina perpaduan bagi menepis ujian itu.

"Kalau kita boleh membina perpaduan sesama kita, kita dapat mengelakkan kejadian yang berlaku di Madinah dan bumi Malaysia ini mampu juga dipertahankan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain