suria

Bapa Maut, Dua Anak Cedera Nahas Di Pagi Syawal

BATU PAHAT: Kemeriahan pagi Syawal bertukar hiba apabila seorang lelaki maut, manakala dua anak lelakinya cedera ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Kejadian di hari lebaran ini berlaku di Batu 12, Senggarang di sini.

Komander operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mahadzir Basir berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi Rabu.

Beliau berkata, sepasukan empat anggota yang tiba di lokasi mendapati mangsa yang memakain baju Melayu meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kejadian itu melibatkan sebuah Toyota Rush dan Proton Iswara yang bertembung di laluan itu.

"Pemandu Iswara yang berusia dalam lingkungan 30 tahun itu meninggal dunia di situ, manakala anaknya yang berusia 10 dan 12 tahun pula mengalami kecederaan ringan.

"Anak lelaki mangsa yang berusia 10 tahun dibantu orang awam untuk keluar dari kereta yang remuk itu.

"Difahamkan tiga beranak itu dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat sunat Hari Raya," katanya ketika dihubungi di sini.

Tambah Mahadzir, pemandu Toyota yang berusia 40 an itu mengalami kecederaan serius.



Artikel Lain