suria

Hati Sayu, Anak Perempuan Meninggal Pada Hari Lahir

K. Muniandy (kiri) dan S. Muniama memberi penghormatan terakhir kepada anak mereka.

JOHOR BARU: Pemandu bas, K. Muniandy tersangkut dalam kesesakan lalu lintas ketika dia mendapat panggilan daripada isterinya yang memaklumkan Unit Rawatan Rapi (ICU), tempat anaknya diwadkan terbakar.

"Saya terus panik dan menunggu dalam keadaan cemas kerana bas kami tersangkut dalam kesesakan lalu lintas," kata lelaki berusia 49 tahun itu.

Muniandy akan menggunakan bas dari Masai, tempatnya bekerja untuk ke Hospital Sultanah Aminah bagi melawat anak perempuannya, Kaliama, 23, setiap hari.

Kaliama dimasukkan ke hospital tersebut pada 20 Oktober lalu kerana serangan epilepsi.

"Saya baharu sahaja mengharungi separuh perjalanan berbanding perjalanan biasa selama satu jam apabila isteri menghubungi saya kira-kira pukul 9.15 pagi Selasa, memaklumkan saya mengenai kebakaran itu.

"Dia beritahu saya, dia berada di aras bawah dan tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan itu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Merak A5, Jalan Pulai Harmoni 1, Kangkar Pulai di sini, Rabu.

Muniandy berkata dia hanya tiba di hospital itu kira-kira pukul 10.45 pagi dan masuk dari satu blok ke blok lain untuk mencari anak perempuannya dengan harapan dia selamat dipindahkan dari wad yang terbakar.

Seorang jururawat membawanya ke papan tanda yang memaparkan nama mangsa yang cedera dan meninggal dunia.

"Hati saya jadi sayu sebaik terlihat nama Kaliama di sana," kata Muniandy sambil mengesat air matanya.

Dia bertemu kali terakhir dengan anak perempuannya itu sehari sebelum kejadian.

Namun anaknya pada ketika itu diberi ubat pelali.

Bapa dua anak itu berkata Kaliama yang gemar membeli-belah dan mendengar lagu Tamil sudah membeli baju dan kasut baharu sempena Deepavali.

"Kaliama amat rapat dengan adiknya Haresh, 8, dan dia fikir kakanya sedang tidur.

"Kami tidak sampai hati untuk memberitahunya apa yang berlaku. Dia masih terlalu muda untuk mengerti," kata Muniandy.

Secara kebetulan, Kaliama meninggal dunia pada hari dia sepatutnya meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-23.

Mendiang Kaliama diberi penghormatan terakhir di kediamannya sebelum ucapara pengebumian dilakukan petang Rabu.

Mayatnya dibakar di krematorium Hindu di Kebuh Teh dan abu mayatnya akan disemadikan di Pantai Lido pada Khamis.


kebakaran, HSA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain