suria

Kerajaan Selangor 'Terbalik' Selepas Bersih 7 - Jamal

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Harapan akan 'terbalik' selepas tamatnya program Bersih 7, demikian dakwa Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu percaya Bersih 7 mampu membuatkan rakyat Selangor membuka mata terhadap penipuan yang didakwa dilakukan kerajaan negeri dan akan beralih kepada Barisan Nasional (BN).

"Saya percaya selepas itu rakyat negeri Selangor akan percaya kewibawaan BN dan penipuan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.

"Setelah ke 700 lokasi (program Bersih 7) kerajaan yang memerintah Selangor selama dua penggal ini akan terbalik," katanya pada sidang media Bersih 7 di sini, Rabu.

Jamal yang juga pemimpin gerakan Baju Merah berkata, Bersih 7 dibuat untuk 'membersihkan' kerajaan negeri Selangor.

Tujuh fakta digariskan dalam program ini iaitu kerajaan telus dan berintegriti, manifesto PRU13, keperluan air bersih, penyelewengan wang rakyat, rumah mampu milik, kronisme dan kerajaan caca marba.

"Program pertama Bersih 7 akan dimulakan di Sekinchan pada Sabtu ini dan diikuti dengan 700 lokasi lain di seluruh Selangor.

"Ia akan berakhir pada 1 April depan di mana himpunan besar-besaran akan diadakan di dalam bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor," katanya.

Ditanya tentang nama 'Bersih' yang digunakan untuk program ini, Jamal berkata ia tidak sama dengan himpunan Bersih atau pertubuhan Bersih yang pro pembangkang.

"Bersih ini benar-benar bersih, kita nak bersihkan kerajaan Selangor yang korup, kotor, penipu dan penyamun ni.

"Bersih tu kotor, ini (Bersih 7) yang bersih, kita tak 'hijacked' sesiapa," katanya yang menambah bahawa Bersih 6 akan dirancang di negeri lain.

Mengenai perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu lalu, Jamal berkata, beliau percaya kehadiran penyokong Baju Merah akan mencecah 400,000 jika beliau tidak ditangkap dan tiada sekatan dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Kalau saya tak ditangkap malam itu saya percaya kehadiran 400,000 orang.

"Kerana saya ditangkap, ramai di kalangan kami disekat, tempat berkumpul tak ada dan kita berterabur sana sini. Satu Kuala Lumpur penuh dengan Baju Merah sebenarnya," katanya.

Jamal juga berkata, pihaknya akan membayar dua kali ganda jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan bil terhadap Baju Merah kerana meninggalkan Padang Merbok dalam keadaan kotor.

"Saya akan bayar 'double', contohnya bil RM10,000, saya akan derma lagi RM10,000 kepada bandaraya.

"Kita akan bagi derma. Kita nak bersihkan sampah tapi kita dihalau oleh polis dan bandaraya, jadi sebab itu kita tak dapat nak bersihkannya," katanya.



Jamal Md Yunos, Bersih 7, Selangor

Artikel Lain