suria

Usah Diskriminasi NGO Bantuan Kemanusiaan Rohingya - Syed Hamid

Duta khas Pertubuhan Negara Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar ketika sidang media selepas merasmikan Forum 'The year of International Solidarity with The Rohingnya 2017', Ahad. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan Myanmar diminta tidak mendiskriminasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara ini dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara itu khususnya etnik Rohingya.

Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi Myanmar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata Myanmar perlu bersikap adil terhadap semua negara Asean termasuk Malaysia.

"Mereka membenarkan Indonesia untuk bawa bantuan mengapa tidak benarkan Malaysia? Kita bukan datang dengan tujuan menghantar tentera untuk menggunakan kekerasan. Kita datang oleh kerana dunia tahu bahawa kaum terbabit di utara Rakhine atau di barat Myanmar memerlukan bantuan kemanusiaan.


"Saya harap mereka patuh kepada semangat ASEAN. Jangan pula diskrimasi negara ke negara," katanya selepas pelancaran 2017 sebagai Tahun Solidariti Antarabangsa Bersama Rohingya di sini Ahad.

Misi Food Flotilla for Myanmar anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang dijadualkan berlepas pada 10 Januari ini ditunda sehingga 31 Januari atas urusan diplomatik.

Presiden KP1M Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dilaporkan berkata penundaan tersebut dilakukan bagi menghormati perundangan dan kedaulatan kerajaan Myanmar untuk memberi kelulusan kepada misi ini.

Syed Hamid berkata Malaysia berharap mendapat sokongan negara Asean lain dalam meminta Myanmar menghentikan kezaliman terhadap etnik Rohingya di negara itu.

Beliau berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat dan dokumen sebagai bukti berhubung kekejaman yang berlaku di Myanmar untuk dibawa ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-menteri Luar OIC pada 19 Januari ini di Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu bertujuan membincangkan situasi yang berlaku terhadap masyarakat minoriti Islam Rohingya di Myanmar dan sebagai isyarat kepada Myanmar bahawa komuniti Islam dunia mahu kerajaan negara itu memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke kawasan terjejas.

Artikel Lain