PETALING JAYA: Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) meminta agar stesen radio di negara ini berhenti memutarkan lagu Latin 'Despacito' yang didakwa mengandungi lirik seks yang eksplisit. Pengerusi Seni dan Budayanya, Atriza Umar berkata, beliau memandang isu tersebut secara serius kerana kebanyakan golongan kanak-kanak menyanyikan lagu tersebut tanpa mengetahui maksud lirik yang sebenar. Katanya, stesen radio Melayu tempatan yang juga memainkan lagu Despacito turut menyumbang kepada fenomena yang sukar dihentikan. Atriza berharap supaya Despacito dan lagu lain yang turut mengandungi lirik menghairahkan serta unsur-unsur keganasan agar diharamkan kerana tidak sesuai dengan budaya ketimuran dan agama Islam. "Saya kesal lagu-lagu bermasalah tidak ditapis oleh kementerian yang berkaitan," katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu. Bagaimanapun, beliau memberikan pujian kepada penyanyi dan individu yang mengambil inisiatif untuk mengubah lirik lagu berkenaan agar kedengaran lebih sopan, biarpun ia melanggar peraturan hak cipta. Lagu Despacito merupakan lagu asal dendangan asal penyanyi Puerto Rico, Luis Fonsi dan Daddy Yankee serta terdapat versi bahasa Inggeris yang menampilkan Justin Bieber.