PETALING JAYA: Jutawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida yang sering dikutuk dan menjadi bahan kritikan netizen, seolah-olah beliau kebal serta tidak mempunyai hati dan perasaan. Luaran, Vida nampak tenang, tapi siapa sangka terdapat ungkapan kasar netizen yang telah mengguris hati penyanyi yang sedang hangat dengan lagu I Am Me ini. "Kadang-kadang saya terkasima dengan perkataan yang tak terjangka akan keluar. "Ada yang kata saya badut, Oh My God, itu adalah sesuatu yang paling menyakitkan hati, tapi nak buat macam mana mereka tak memahami saya," katanya kepada mStar Online. Menurut Vida, beliau bagaimanapun terpaksa menelan segala kata-kata kesat yang dilemparkan kepadanya dan berusaha membuktikan bahawa apa yang dilakukannya ini adalah strategi yang dapat membantu perniagaannya. "Yang komen negatif tu mereka tak faham lagi, mari kita sekolahkan mereka," katanya dalam nada bergurau. Tegasnya, disebabkan beliau adalah seorang yang suka mencetuskan kelainan dalam apa jua bidang yang diceburinya, termasuklah bidang perniagaan dan seni, tidak hairanlah ada yang menuduhnya 'syok sendiri'. "Syok sendiri apa, saya kena berkarya cara saya, tak boleh duduk diam dengan benda yang stereotype atau benda yang sama. "Saya sukakan sesuatu yang berlainan, itu cara saya sebab tu kadang-kadang orang kata saya trend setter, saya leading, ada kata saya idealis, Alhamdulillah," katanya. Mengenai lagu I Am Me, Vida menjanjikan satu kelainan dari segi penghasilan klip videonya yang akan dilancarkan pada Ogos. "Memang best, tak ada lagi di Malaya macam saya punya muzik videolah!," katanya. Video lirik berjudul I Am Me, ciptaan Edry Abdul Halim kini sudah mendapat lebih 600,000 tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada 13 Julai lalu.