suria

Kejutan Untuk Mak Abah Menjadi – Tunang Jarak Jauh

Amirah (kanan) bersama tunangnya, Idham yang berhubung menerusi panggilan video Skype selepas majlis pertunangan Sabtu lalu. Foto Facebook Chickaboo.my

PETALING JAYA: Kisah pasangan muda mengadakan majlis pertunangan secara jarak jauh tular selepas beberapa gambar termasuk video dimuat naik di laman sosial sejak Selasa.

Pelbagai reaksi netizen berhubung majlis pertunangan membabitkan aplikasi panggilan video Skype yang dipaparkan di komputer riba dan disambungkan ke 'monitor' bagi paparan lebih jelas buat tetamu.

Pemuda yang baru bertunang itu, Muhammad Idham Aisha, 27, berkata, persiapan majlis dibuat di kediaman keluarga perempuan, Nur Amirah Mohammad Noor, 25, di Bukit Rambai, Melaka pada Sabtu lalu.  

Bagaimanapun katanya yang kini bekerja di Yokohama, Jepun, kedua-dua ibu bapanya yang hadir bersama kira-kira 20 ahli keluarga dan saudaranya sebenarnya tidak mengetahui mengenai rancangan untuk membuat panggilan video selepas majlis.

“Sejak saya belajar dan bekerja di Jepun hampir lapan tahun, hanya beberapa kali saja saya pulang ke Malaysia. Sepanjang tempoh ini, saya tak pernah buat ‘video call’ dengan abah dan mak sebab di kampung di Kampung Gajah, Perak tak ada kemudahan untuk menggunakan ‘skype’.

“Jadi, ini memang pertama kali buat ‘video call’ dengan mereka. Alhamdulillah, kejutan untuk mak abah. Menitis air mata abah jugalah masa bercakap dengan saya depan ‘monitor’ (skrin komputer),” katanya kepada mStar Online menerusi aplikasi WhatsApp Call pada Rabu.

Menerusi sedutan video yang tular di media sosial, Amirah menunjukkan cincin pertunangannya kepada Idham menerusi panggilan video Skype selain turut bergambar 'bersama' dengan skrin ‘monitor’ yang memaparkan visual tunangnya.

Idham yang bekerja dalam bidang pengiklanan berkata, ia juga merupakan pertama kali ibu bapanya bersemuka dengan tunangnya sekeluarga.

“Sebelum ini mereka hanya lihat Amirah menerusi gambar, tapi pada majlis barulah mereka dapat berjumpa. Secara tidak langsung, ‘video call’ yang dibuat bagi berkongsi kegembiraan abah dan mak bersama keluarga Amirah,” katanya.

Menurut Idham, perkenalan bersama tunangnya bermula semasa majlis sambutan Aidilfitri yang diadakan di Kedutaan Malaysia di Tokyo pada tahun lalu semasa Amirah menyertai program pertukaran pelajar di negara matahari terbit itu sebelum kedua-duanya mengambil keputusan untuk mengenali secara serius.

“Saya sudah pun bertemu dengan ibu bapa Amirah sebelum memutuskan untuk bertunang. InsyaAllah, saya akan pulang bercuti pada Ogos ini kerana kebetulan ada urusan kerja dan bertemu dengan mereka, dan kali ini sebagai tunangnya,” katanya.

Antara perkenalan awal Idham dan Amirah, ketika ini festival antarabangsa di Universiti Josai di Jepun. Foto ihsan Idham

Sementara itu, Amirah pula berkata, dia tidak menyangka sesi panggilan video yang dibuat keluarganya selepas ditunangkan tular di media sosial.

“Bukan saya atau Idham yang memuat naik video ini, jadi memang terkejut bila dikongsi ramai di Facebook. Terima kasih kepada mereka yang menyukainya. Bagi yang mengecam, itu mulut mereka nak kata macam-macam, terpulang kepada mereka. 

"Tapi video ini sekadar berkongsi kegembiraan kami sekeluarga terutama memberi kejutan kepada mak dan abah Idham. Ia juga menunjukkan kami mendapatkan restu daripada kedua-dua keluarga. Kan lebih baik doakan kami yang baik-baik sampai ke jinjang pelamin,” katanya.

"Ini kejutan untuk abah dan mak" kata Idham mengenai bapanya, Aisha Shaharum dan ibu, Kamsiah Mad Jidin.

Menurut Amirah yang baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Bio Perubatan di intistut pengajian tinggi tempatan, sikap Idham yang bertanggungjawab terutama menghormati ibu bapanya berjaya menambat hatinya.

“Walaupun kami baru berkenalan, Idham sudah berani menghubungi kedua ibu bapa saya untuk beritahu dia mahu mengenali saya. 

“Begitu juga ‘video call’ yang dibuat selepas kami bertunang, dia tampil bersemuka dengan keluarga saya dan keluarganya. Bukan semua lelaki seberani dia,” katanya yang merancang untuk menyambung pengajian dalam peringkat Sarjana di Jepun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain