suria

"Mereka Masih Menangis"

Sukri (kiri) tidak dapat menahan sebak setiap kali membicarakan nasib anaknya yang meninggal dunia minggu lalu.

RANTAU PANJANG: “Ibu bapa saya masih sedih,” kata abang Allahyarham Laskar Kelas 1, Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, yang meninggal dunia ketika latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Jumaat lalu.

Walaupun pemergiannya melewati hari ke empat, abang sulung Allahyarham, Muhammad Ridhuan Mohd Sukri, 28, berkata, ibu bapanya akan menangis tiap kali diajukan perihal adiknya yang berusia 26 tahun itu.

Muhammad Ridhuan  berkata, ibu bapanya masih terkejut dengan peristiwa ini dan dia berharap ia tidak menjejaskan kesihatan mereka.

“Mereka banyak diam, termenung, kelihatan susah hati dan ada kalanya menitiskan air mata.

“Saya sebagai abang, dah cukup terkesan dengan peristiwa tersebut, inikan pula ibu bapa yang menyara dan membesarkan kami,” katanya.

Katanya, adik iparnya juga menunjukkan sikap sama dan masih bersedih dengan pemergian suaminya.

Menurutnya, Nur Liya Asmira Yahya, 24, yang tinggal di Kampung Lubok Stol turut meluangkan masa di rumah ini, bersama anak, Aisyah Humaira, empat bulan.

“Kami percaya dia cekal, kuat menghadapi situasi ini dan kami mendoakan agar masa akan mengubati luka yang kami hadapi,” katanya ketika persiapan majlis tahlil di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir ketika menziarahi dan mendoakan kesejahteraan arwah.

Jumaat lalu, dua anggota TLDM meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan pada jam 3.15 petang.

Dalam kenyataan media TLDM, dua anggota, Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatulman menjalani latihan fizikal  namun mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum muntah serta sesak nafas.

Jenazah Allahyarham Muhammad Lailatulman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, pada jam 9.30 pagi, Ahad lalu.- Sinar Harian

Sungai Wangi, TLDM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

“Pulangkan Tomato”

Artikel Lain