suria

“Pulangkan Tomato”

PETALING JAYA: Beberapa banting iklan yang dipasang di sekitar Keramat di Kuala Lumpur sejak Selasa meraih perhatian pengguna jalan raya di kawasan itu.

Mungkin pada awalnya ia disangka sebagai satu gurauan, tetapi kemudian meruntun emosi sebaik membaca keterangan pada banting iklan berkenaan.

“Kura-kura hilang, sesiapa jumpa tolong kembalikan kepada kami. Hilang sejak Jumaat, 29 September 2017 jam 3.30 petang. Budi baik tuan/puan akan dibalas.”

Gambar banting iklan tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, Kifli Bujang pada Rabu, sambil berkata: “Kesian jiran saya.”

Antara reaksi netizen berhubung banting yang memaklumkan mengenai kehilangan seekor kura-kura.

Seorang netizen seakan memahami perasaan pemilik kura-kura tersebut dengan berkata: “Mesti sayang sungguh tu, siap buat banting. Kesian. Mesti dia sedih.”

Pemiliknya, Dina Azmi, 25, tampil menjelaskan bahawa kura-kura jantan seberat kira-kira 3 kilogram dan bersaiz separuh sebiji bola sepak, bernama Tomato diperlihara keluarganya sejak dua tahun lalu di atas pemberian seorang rakan.

"Pada hari Tomato hilang, saya di tempat kerja. Saya hanya menyedari kehilangan Tomato pada sebelah malam.

“Mungkin kerana pintu pagar dibuka terlalu lama pada petang tu sebab ada tetamu datang, menyebabkan Tomato terlepas keluar dari kawasan rumah,” katanya kepada mStar Online pada Rabu.

Kura-kura jantan bernama Tomato bersaiz separuh sebiji bola sepak dengan berat kira-kira 3 kilogram.

Dina yang bertugas sebagai pegawai penyelidikan memberitahu, kura-kura tersebut memang dibiarkan bebas di kawasan rumah atas nasihat doktor bagi tumbesaran yang sihat dan setakat ini tiada masalah untuk menjaganya.

Mengenai kehilangan Tomato, kata Dina, mereka sekeluarga berusaha mencari Tomato dari rumah ke rumah jiran, termasuk pangsapuri berdekatan.

“Saya diberitahu oleh pengawal di pondok keselamatan bahawa seorang penunggang motosikal berhenti dan mengangkat Tomato di tengah jalan.

“Lelaki itu ada menyerahkan kura-kura tersebut kepada pengawal tetapi ditolaknya secara baik kerana dia sedang bertugas. Lelaki itu kemudiannya beredar dan membawanya pergi,” katanya sambil menambah bahawa pengawal menggambarkan lelaki itu berbangsa Melayu dan masih muda.

Kali terakhir Tomato dilihat pada Jumaat, 29 September lalu.

Menurut Dina, sebanyak enam banting dan 15 poster yang memaklumkan mengenai kehilangan kura-kuranya dipasang di sepanjang jalan di sekitar Keramat.

“Setakat ini, ada lima orang menghubungi kami memberitahu mereka ternampak Tomato. Mereka semua cerita yang hampir sama, nampak Tomato berjalan dekat kawasan kejiranan antara pukul 3 dan 4 petang Jumaat tu,” katanya.

Sehubungan itu, Dina sekeluarga memohon jasa baik orang ramai terutama penunggang motosikal yang dipercayai dilihat kali terakhir bersama haiwan perliharaan mereka agar memulangkannya kembali.

“Kami tahu penunggang motosikal tu berniat baik kerana tidak mahu Tomato dilanggar sebab tu dia mahu serahkan kepada pengawal.

“Kesedihan kami sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Tapi kami sentiasa berdoa agar Tomato selamat di luar sana, dan percaya masih ada harapan untuk menemukan semula haiwan kesayangan kami ini,” kata Dina.

Tomato, kura-kura

Artikel Sebelum

"Mereka Masih Menangis"

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan