suria

“Lebih Baik Pilih Diam”

Aina Nurfazlen sentiasa menjadikan ibu bapanya sebagai pemangkin utama untuk mengecapi kejayaan.

PETALING JAYA:  Selepas gambarnya menyarung jubah graduasi tular di Twitter, gadis yang digelar 'beauty with brains' (cantik dan bijak) ini berharap agar kisahnya mampu memberi motivasi kepada pelajar untuk sentiasa berusaha bagi mendapat keputusan lebih cemerlang.

Aina Nurfazlen Jamiaan, 22, berkata, dia tidak terlepas daripada menerima komen negatif selepas gambarnya dimuat naik semula oleh beberapa pengendali laman Facebook.

"Pada awalnya, 'junior' saya menulis tentang kejayaan saya merangkul beberapa anugerah sepanjang meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Seri Iskandar menerusi Twitter untuk memberi inspirasi kepada pelajar UiTM.

"Namun, apabila pengendali laman Facebook memuat naik semula gambar-gambar itu ke akaun mereka, netizen memberi reaksi berbeza," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Status mengenai kejayaan Aina Nurfazlen yang tular di Twitter.

Kata gadis yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu, dia cukup terkilan apabila ada pemilik akaun Facebook yang melemparkan kata-kata kesat terhadapnya walaupun individu itu mempamerkan imej seakan-akan seorang yang alim.

"Lelaki itu memakai kopiah pada gambar profil tapi komen yang ditinggalkannya tidak mencerminkan imej luaran.

Kata Aina Nurfazlen, lelaki tersebut berkata: "Tiadalah lawa mana, pergi m*****."

Aina Nurfazlen bangun seawal pukul 3 pagi pada setiap hari untuk mengulangkaji pelajaran dan mengajar kawan-kawan untuk berkongsi ilmu. 

Bagi penerima Anugerah Naib Canselor UiTM itu, dia tidak terlalu ambil pusing tentang komen-komen negatif, cuma komen tersebut telah mengguris hati kedua ibu bapanya.

"Saya memilih untuk diam atau membalas komen dengan bahasa yang lebih baik kerana jika kita balas dengan ayat kasar, perkara itu akan melarat.

"Bila ada orang kecam kita, ramai lagi yang berikan kata-kata semangat. Kenapa kita nak fokus pada yang negatif?" ujar pelajar lulusan Diploma Pengurusan Hartanah itu.

Terkini, gadis yang juga pernah menyandang Anugerah Pelajar Terbaik Pengurusan Hartanah itu mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Queensland,  Australia dalam bidang Ekonomi Hartanah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain