GELAGAT seorang warga emas yang pertama kali menggunakan mesej audio dalam aplikasi sembang WhatsApp mencuit hati netizen. Menerusi video yang dimuat naik oleh cucunya, Amira Natasya Johari, 21, di laman Twitter, Hadijah Sopi, 80, menyangka fungsi mesej audio sama seperti panggilan telefon sehingga dia beberapa kali memanggil nama cucunya. Menurut gadis berkenaan, neneknya, yang dipanggil opah sebelum ini hanya menggunakan telefon bimbit model klasik Nokia 3310 sebelum membeli sebuah telefon pintar pada Ahad. Dia yang sedang menyambung pengajian di New Zealand, menerima mesej suara daripada neneknya yang tinggal di Kuala Lumpur pada petang Ahad. "Selepas dapat mesej audio tu, saya gelak je. Saya tak balas pun mesej audio tu. "Rasa rindu pada opah membuak-buak, saya pun terus telefon opah," katanya kepada mStar Online. Sejurus selepas itu, dia bertindak memuat naik rakaman skrin (screen recording) mesej audio itu ke laman Twitter bagi berkongsi peristiwa berkenaan bersama pengikutnya. Perkongsian itu yang dimuat naik pada Ahad sudah diulang kicau (retweet) lebih 14,000 kali oleh pengguna Twitter. "Anugerah kecomelan 2018 jatuh kepada opah awak tahun ini," tulis @mustaqimidrus. "Sama macam nenek saya. Dah penat terangkan mesej audio WhatsApp tu tak sama dengan berborak dalam telefon," tulis @_nurasyafira. Dalam video itu, turut kedengaran suara emak saudaranya yang menjelaskan kepada opah Amira bahawa mesej audio itu bukannya panggilan telefon. Menurut Amira, dia sebelum ini sering membuat panggilan video bersama opahnya menggunakan telefon emak saudaranya. Dalam pada itu, Amira yang kini sedang menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan dan kewangan di University of Auckland baru sahaja menamatkan cutinya selama tiga bulan pada Februari lalu. Ujarnya, dia sudah tidak ada cuti dan kemungkinan hanya akan pulang ke Malaysia pada Julai tahun hadapan bagi bertemu semula dengan opah dan ahli keluarganya yang lain.