KUALA LUMPUR: Selebriti tanah air, Azwan Ali atau Diva AA hilang wang pertaruhan selepas memperoleh hanya 90 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa. Mengakui akur dengan keputusan itu, Azwan berkata dia reda dan menghormati keputusan yang telah dibuat penduduk kawasan berkenaan. “Saya sudah lakukan yang terbaik untuk PRU14 dan saya menghormati keputusan yang telah dibuat rakyat. “Yang penting, peristiwa warna-warni PRU14 telah pun kita lalui. Siapa pun yang memimpin ‘biaq pi’. “Yang penting, Diva AA tetap akan menunaikan janji seperti nak belanja rendang," ujarnya kepada mStar Online. Azwan yang membuat kejutan bertanding sebagai calon bebas menggunakan logo gajah untuk merebut kerusi Dun Bukit Antarabangsa hanya memperoleh undian sebanyak 90 undi daripada 84.4 peratus pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka. Tambah Azwan, dia tidak pernah berharap untuk menang kerana sentiasa berpegang pada pesanan arwah ibunya. “Saya akan sentiasa berpegang kepada kata-kata ibu saya, arwah Mak Tom. “Jangan berharap, dikuatiri kalau mengharap-harap nanti tertiarap,” katanya. Sementara itu, Azwan turut meminta masyarakat berhenti mempertikaikan ketelusan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menjalankan tugas kerana perkara itu mampu memberi impak negatif kepada sistem pengundian di negara ini. “Saya percaya SPR, mereka ada kuasa untuk mengira undi. “Tak perlulah pertikaikan ketelusan mereka menjalankan tugas, cara pengiraan atau terdapat penipuan. “Ingat Allah selalu, insyallah kita berjaya di dunia dan akhirat,” ujarnya. Azwan turut menafikan khabar angin yang bertebaran di media sosial yang mengaitkan dia mengundi abangnya sendiri ketika proses membuang undi di Sekolah Rendah Kebangsaan Klang Gate Baru, Setapak, pagi Rabu. “Undi adalah rahsia. Tetapi mustahil saya undi Azmin Ali!” akhirinya. Kekalahan Azwan ini sekali gus bermakna abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjaya mempertahankan DUN berkenaan. Menteri Besar Selangor itu juga mengekalkan kerusi Parlimen Gombak yang dipegangnya selama dua penggal.