KUALA LUMPUR: Calon muda berusia 22 tahun mencatat sejarah pada PRU14 di Parlimen Batu apabila memenangi kerusi parlimen berkenaan pada kali pertama beliau layak mengundi sebagai pemilih berdaftar. M Prabakaran dari parti bebas (Kunci) memperoleh 38,125 jumlah undi sekaligus menewaskan pencabarnya Dr Dominic Lau Hoe Chai dari Gerakan-BN (13,687), Azhar Yahya dari Pas (10,610), dan Datuk VM Panjamothy dari bebas (383). Prabakaran memberitahu, kemenangan ini adalah detik paling bersejarah dalam hidupnya. "PRU kali ini adalah pilihan raya pertama saya mengundi dan kali pertama bertanding sebagai calon di P115. "Kemenangan ini adalah amanah rakyat, khususnya para pengundi di Parlimen Batu," katanya kepada media selepas memenangi kerusi Parlimen Batu. Prabakaran adalan calon paling muda yang bertanding pada PRU kali ini. Kemenangannya dengan majoriti 24,438 sekali gus melebihi jumlah majoriti Tian Chua yang memegang kerusi Parlimen Batu selama dua penggal. Pada PRU13, Tian Chua memperoleh majoriti undi 13,284 sementara pada PRU12 majoriti undi diperoleh beliau adalah 9,455. Sebelum ini, pada 28 April lalu ketika hari penamaan calon, pegawai pengurus pilihan raya Anwar Mohd Zain membatalkan kertas pencalonan Tian Chua sebagai calon layak bertanding bagi kerusi P115. Anwar membuat keputusan itu berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mac lalu yang mengekalkan sabitan salah terhadapnya atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis walaupun mengurangkan hukuman denda kepada RM2,000. - Sinar Harian