PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta rakyat Malaysia supaya bersabar untuk mengetahui keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). "Sabar sikit. Bagi sedikit masa untuk kami buat pengumuman rasmi setelah semua keputusan telah disahkan dan tak ada keputusan tak rasmi. "Apa yang tular di luar, adalah keputusan tak rasmi mungkin diterima dari ejen-ejen parti yang bertugas di dalam," kata Pengerusi SPR Tan Sri Hashim Abdullah pada sidang media khas PRU-14, awal pagi Khamis yang disiarkan di sebuah stesen TV. Menurut Hashim sehingga sidang media diadakan kira-kira pukul 12.20 pagi, SPR masih lagi menerima keputusan dari negeri, ketua pusat mengundi dan juga pegawai pengurus pilihan raya (RO). "Secara rasminya kita tak boleh nak keluarkan kenyataan berkaitan keputusan sebenar lagi pada masa sekarang. "Tentu rakyat sedang tunggu dan kita cukup faham tentang perkara ini. Tapi bagi SPR kita perlu menyebarkan keputusan rasmi yang telah disahkan, jangan bimbang kita tak ada apa-apa muslihat," katanya.