suria

Tak puasa, tak solat: Mufti nak jumpa Faiz Roslan

PETALING JAYA: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menjemput selebriti media sosial, Faiz Roslan hadir bertemu dengannya bagi berbincang mengenai video 'tidak puasa' yang tular sejak Isnin.

Zulkifli menerusi laman Facebooknya pada Rabu berkata, beliau dengan rasa rendah diri dan sukacita menjemput Faiz bersama rakannya ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk menyelesaikan isu itu.

"Sejujurnya, saya baru sahaja meneliti beberapa maklumat yang diperoleh tentang anak muda ini melalui rakan-rakan staf di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

"Saya juga dimaklumkan yang beliau telah menutup akaun Instagramnya baru-baru ini atas sebab yang tidak diketahui," tulis Zulkifli.

Menurut Zulkifli, pihaknya turut diminta mengambil tindakan atas kelakuan Faiz dan rakannya yang seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan.

Namun, beliau menjelaskan sebarang bentuk tindakan penguatkuasaan undang-undang adalah di luar bidang kuasa pihaknya.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

Faiz, pada petang Isnin menerusi video live Instagram secara terbuka mengaku dia tidak berpuasa.

"I tak puasa sebab I tak solat lima waktu pun. So kalau puasa pun macam rugi je. Korang puasa nak dapat pahala, tapi kalau tak solat (pahala) dikira kosong.

"Tengok 'perempuan' tu, makan je. Tapi jangan tunjuk sangat, kitorang ni dah tertunjuk, sebab kitorang pun macam tak hormati, so ambik lah kau," ujarnya sambil mengalihkan rakaman video kepada rakannya yang sedang makan secara terbuka.

Video berkenaan yang dimuat naik ke laman Twitter oleh beberapa netizen mula tular dan mendapat perhatian ramai.

Kebanyakan netizen meluahkan kemarahan mereka kerana tindakan Faiz yang mencemar kesucian bulan Ramadan.

"Jabatan agama kena buat sesuatu pasal Faiz. Dia punya tindakan kali ni memang betul-betul mencabar kesucian agama Islam," tulis @RealSukriEusoff di Twitter.

"Saya tahu macam mana nak hentikan dia. Berhenti ikuti akaun laman sosial dia. Senang je," tulis seorang lagi pengguna Twitter.

Difahamkan Faiz sudah pun menyahaktifkan akaun Instagram miliknya sejak Selasa setelah menerima kecaman bertalu-talu daripada orang ramai.

Dia yang mempunyai lebih 300,000 pengikut Instagram baru-baru ini turut menimbulkan kontroversi gara-gara video parodi ghairah yang dimuat naik pada 1 Ramadan.

 

Faiz Roslan, Mufti WP, tak solat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain