suria

Zawawi cabar Lokman buktikan dakwaan politik wang

SHAH ALAM: Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mencabar Datuk Lokman Noor Adam supaya membuktikan dakwaan bahawa pihaknya menggunakan politik wang untuk meraih sokongan pengundi.

Mohd Zawawi berkata calon BN itu perlu memastikan dakwaan yang dilemparkannya itu bukan cerita kosong semata-mata untuk mendapatkan sokongan pengundi di kawasan tersebut.

“Saya bukannya macam dia (Lokman Noor), saya orang kecil tidak banyak harta. Saya berpegang pada prinsip bebas rasuah dan politik wang serta perkara lain yang sewaktu dengannya.

“Sila buktikan dakwaan itu dan saya bersedia pada bila-bila masa untuk beri kerjasama kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya dalam sidang media bersempena hari terakhir kempen PRK itu di sini, Jumaat.

Lokman Noor pada Khamis menggesa SPR dan SPRM memantau kempen jentera PKR pada saat-saat terakhir kempen PRK itu kerana mendakwa PKR menggunakan taktik kotor termasuk politik wang.

Mohd Zawawi dalam pada itu mengulangi ikrarnya untuk memberi komitmen dan bekerja sepenuh hati sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di DUN Sungai Kandis.

Jelas beliau, perkara pertama yang akan dilakukan sebaik sahaja diberi mandat nanti adalah menubuhkan Pusat Khidmat Masyarakat di Bandar Puteri, Klang, yang bertujuan memudahkan beliau berhubung dengan pengundi di kawasan DUN itu.

"Buat masa ini, kita masih mempunyai pejabat di Kota Kemuning tetapi bercadang berpindah ke kawasan baharu. Saya mahu pusat khidmat ini dibuka supaya memudahkan rakyat berkongsi masalah dan aduan yang mereka hadapi.

"Malah, saya dan keluarga akan terus menetap di kediaman asal kami di Jalan Kebun supaya tidak berada jauh dari pengundi. Saya percaya pemimpin harus sentiasa berada di sisi rakyat dalam susah dan senang,” katanya.

Mohd Zawawi dalam pada itu turut merayu supaya semua pemilih berdaftar di DUN Sungai Kandis menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Sabtu dan memilih beliau sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Selain Lokman Noor, Mohd Zawawi bakal berdepan calon Bebas K. Murthy pada PRK itu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bekas CEO Peka direman

Artikel Lain