suria

Najib kesal Tun M mahu kurangkan, hapus BR1M

Gambar fail Dr Mahathir (kiri) dan Najib. Foto Astro Awani

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak kesal dengan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan dikurangkan dan dihapuskan.

Bekas perdana menteri itu berkata, Dr Mahathir masih mendakwa BR1M dibayar dengan wang yang dicuri dan tujuan BR1M ialah untuk ‘membeli’ rakyat, selain dakwaan jumlah bantuan itu terlalu kecil untuk dimanfaatkan rakyat.

“Agaknya pelik tuduhan bahawa kerajaan BN (Barisan Nasional) ‘curi’ wang untuk bagi balik kepada rakyat. 

“Wang untuk membayar BR1M bukan dari sumber yang dicuri. Ia ialah dari langkah rasionalisasi subsidi dan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan),” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, petang Sabtu.

Najib berkata, BR1M bukan untuk tujuan politik dan kriteria penerimaannya hanya berdasarkan kepada pendapatan bulanan isi keluarga, tanpa mengira parti politik yang disokong.

“Orang yang kaya lebih banyak mendapat faedah dari subsidi pukal manakala kutipan GST lebih banyak dari SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) kerana orang kaya yang bayar lebih banyak GST kerana perbelanjaan mereka lebih dan lebih penting, GST mengurangkan pengelakkan cukai, mengurangkan aliran dana haram dan mengutip cukai daripada ekonomi ‘gelap’.

“Wang ini kita kembalikan kepada golongan B40 (berpendapatan rendah) sebagai BR1M yang terus naik kerana kutipan GST terus naik akibat dari pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dulunya semakin naik. 

“Bila orang susah dapat duit, duit tu dibelanjakan semula dalam kitaran ekonomi terutama di kawasan luar bandar,” katanya sambil menambah bahawa jurang kekayaan dan pendapatan antara golongan kaya dan miskin boleh dirapatkan.

Najib berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada minggu lalu mengumumkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua selepas mereka mengambil alih telah menurun dengan mengejutkan kepada 4.5 peratus berbanding 5.4 peratus untuk suku sebelum itu, manakala kadar pengangguran meningkat.

“Beberapa penganalisis ekonomi juga meramalkan Malaysia bakal akan jatuh kepada kemelesetan ekonomi atau krisis dalam tempoh yang terdekat. Harga getah dan minyak sawit juga telah turun dengan turuk sejak PRU14 (pilihan raya umum ke-14).

“Ketika inilah orang miskin yang patut ditolong bukan dihukum. Di mana salahnya kalau kita mengambil wang dari yang kaya dan yang lari cukai untuk membayar kepada yang miskin?

“Adakah PH sudah lupa mereka berjanji untuk meneruskan BR1M dalam manifesto? Mengapa sekarang mahu mungkir janji dan menghukum rakyat miskin?,” katanya.

Najib mendakwa, kerajaan PH hanya mementingkan golongan kaya, ekonomi gelap dan peniaga yang suka mengelak cukai, berbanding mahu menaikkan gaji dan membantu golongan miskin.

“Saya bimbang jurang pendapatan yang semakin turun masa saya menjadi perdana menteri akan naik kembali kepada tahap yang tinggi pada penggal pertama Dr Mahathir berkuasa,” jelas Najib.

Dilaporkan Dr Mahathir dipetik sebagai berkata, BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat, berikutan rakyat terlalu dimanjakan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu di bawah kepimpinan Najib.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir menegaskan, rakyat tidak patut merasakan mereka boleh mendapatkan wang tanpa bekerja. 

“Najib memanjakan rakyat dengan membuatkan mereka fikir tanpa melakukan sebarang kerja kerajaan akan berikan wang kepada mereka,” katanya dipetik menerusi wawancara bersama sebuah portal berita.

Artikel Lain