KOTA KINABALU: Gambar seorang wanita yang hanya memakai seluar dalam bikini dan berbaju kemeja-T lengan panjang merah jambu dekat kompleks Asia City di Kota Kinabalu menjadi buah mulut orang ramai. Ramai yang mempersoalkan adakah wanita berkenaan, yang dipercayai warga asing, berpakaian sedemikian kerana cuaca panas di Sabah sejak beberapa minggu lalu, dengan suhu purata mencecah antara 34 dan 35 darjah Celsius setiap hari. Orang ramai berkongsi gambar-gambar wanita itu menerusi aplikasi WhatsApp, dengan kebanyakan lelaki memberi komen "kehangatan" wanita itu membuatkan mereka untuk memesan segelas lagi air berais untuk "sejuk". Seorang bertanya "Adakah Sabah sangat panas? Saya perlu pesan segelas kopi ais lagi lepas tengok dia melintas". Seorang lagi bergurau dengan membalas, "Ia kini menjadi trend dengan berjalan memakai seluar dalam di bawah panas terik". Wanita berkenaan dirakamkan berjalan bersama seorang lelaki. Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada terdapat laporan dibuat berhubung pemakaiannya. Insiden pelancong di Sabah berpakaian tidak sopan dan tidak sensitif dengan budaya Malaysia dilaporkan beberapa kali. Usaha untuk mendapatkan komen Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew berhubung perkara itu sedang dilakukan. Pada 27 Jun lalu, dua pelancong wanita dari China menari tidak senonoh di hadapan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, didenda RM25 seorang. Pada 11 Jun lalu, video seorang wanita yang melakukan aksi akrobatik di tengah-tengah jalan Gaya di Kota Kinabalu mengundang kritikan dan bimbang mengenai keselamatannya.