suria

Meriah! Lima generasi Khatib Ali berkumpul

Aidiladha menghimpunkan seramai lebih 200 ahli keluarga agamawan yang cukup dikenali di Kampung Kubang Ikan, Khatib Ali yang telah meninggal dunia pada 1987.

KUALA TERENGGANU: Aidiladha ini meninggalkan kenangan indah kepada lebih 200 ahli keluarga daripada lima generasi seorang agamawan yang dikenali di Kampung Kubang Ikan, di sini.

Pertemuan keluarga menerusi Himpunan Generasi Khatib Ali itu berlangsung di kediaman salah seorang cucunya di kampung itu.

Penaung Program, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang merupakan salah seorang cucu kepada Khatib Ali, berkata, beliau mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk menghimpunkan seluruh ahli keluarga dalam pertemuan besar-besaran yang dibuat julung kali itu.

"Saya terfikir untuk himpunkan seluruh ahli keluarga ini selepas saya lihat ada antara anak-anak saya yang tidak berapa mengenali waris-waris yang agak jauh seperti dua pupu dan seterusnya.

"Jadi dengan bantuan aplikasi WhatsApp dan media sosial facebook kita berjaya kumpul ahli keluarga, ini pun ada yang tak dapat hadir disebabkan faktor yang tidak boleh dielak, " katanya.

Menurutnya, Khatib Ali adalah seorang yang dikenali dalam mengajar ilmu agama dan merupakan generasi keempat yang tinggal di kampung itu.

Katanya, pengalaman belajar mengaji dan ilmu agama antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika bersama datuknya itu.

"Dulu masa di bangku sekolah rendah saya pernah diajar mengaji oleh datuk saya dan pernah bermalam selama seminggu di rumahnya.

"Itu antara kenangan yang sukar untuk saya lupakan sehingga kini. Mujurlah generasi kami ramai yang mewarisi ilmu agama yang ditinggalkan datuk kami. Ada antaranya yang menjadi bilal dan imam masjid serta mahir dalam ilmu agama," katanya.

Sementara itu, satu-satunya anak Allahyarham yang masih ada, Nik Ali, 94, berkata, Allahyarham meninggalkan tujuh anak dan enam daripadanya telah meninggal dunia.

"Seumur hidup saya, adik beradik dan keluarga tidak pernah bermasam muka atau bergaduh.

"Arwah juga seorang yang mementingkan ikatan kekeluargaan dan suka meraikan tetamu. Jadi, kami adik beradik memang diajar untuk memelihara silaturrahim sejak kecil," katanya. - Sinar Harian

Khatib Ali

Artikel Lain