suria

Jual Equanimity bukan tugas mudah

Kapal layar mewah Equanimity.

PETALING JAYA: Dengan Mahkamah Admiralti memberikan kebenaran kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk menjual Equanimity, proses mencari pembeli untuk kapal layar mewah itu kini boleh bermula.

Satu pilihan adalah untuk menjual kapal menerusi lelongan, tetapi sebaliknya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan bahawa kerajaan merancang untuk membuka bidaan untuk kapal layar itu.

Firma penilaian kapal berasaskan London, VesselsValue, menjelaskan bagaimana ini dijalankan.

Syarikat itu, yang menilai Equanimity pada AS$175 juta (RM716 juta) berkata, proses jualan biasa sebuah kapal layar akan bermula dengan penjual berurusan dengan broker.

Ketua bahagian kapal layar Vessels, Sam Tucker berkata, broker akan memasarkan kapal melalui pelbagai media termasuk cetak dan dalam talian, serta melalui e-mel kepada rakan sejawatnya.

"Jika pembeli tampil, maka proses tinjauan dan rundingan bermula," katanya, sambil menambah bahawa kapal boleh berada di pasaran selama bertahun-tahun sebelum dijual.

Satu ciri khas menjual kapal layar melibatkan bunyi loceng di kapal apabila tawaran diterima.

Dr Mahathir, semasa sidang media selepas memeriksa Equanimity pada 11 Ogos lalu, mengatakan bahawa kapar layar itu mempunyai loceng yang boleh dibunyikan apabila tawaran telah dibuat.

Tucker menjelaskan bahawa setiap kapal yang panjangnya berukuran lebih 12 meter, yang mana termasuk Equanimity dengan panjang 92 meter, mesti mempunyai loceng di kapal.

Mengikut sejarah, tujuan mempunyai loceng adalah untuk menandakan masa dan memberi isyarat kepada perubahan dalam sistem pemerhatian.

Pada masa ini, penggunaan utama loceng adalah untuk mematuhi Peraturan-Peraturan Antarabangsa untuk Mencegah Perlanggaran di Laut, yang dikawal oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa.

Dalam keadaan penglihatan terhad seperti kabus, kapal juga mesti membunyikan locengnya setiap dua minit.

"Lonceng juga digunakan untuk menandakan majlis atau acara, dalam kes ini adalah menerima tawaran," kata Tucker.

Mengenai sentimen pasaran semasa untuk kapal layar - yang ditakrifkan sebagai kapal layar lebih 24 meter, Tucker berkata, tidak ada perubahan, dan menambah bahawa kapal layar mempunyai sejumlah kecil pembeli.

Beliau berkata, sebuah kapal layar yang dikenali sebagai Anastasia, yang dibina oleh galangan kapal yang sama dengan Equanimity tetapi lebih kecil pada 76 meter, baru-baru ini dijual dengan harga yang dibida €67.5 juta (RM321 juta), sejajar dengan sentimen pasaran.

Ditanya sama ada Equanimity boleh mendapatkan harga jualan hampir atau sama dengan anggaran nilai, Tucker berkata, ia sepatutnya begitu, dengan syarat kapal itu berada dalam keadaan baik.

"Jika kapal itu dijual dengan cepat, misalnya melalui lelongan, kami akan melihat harga yang lebih rendah jika kapal ini dipasarkan dan dijual secara organik.

"Hakikat bahawa kapal ini mendapat liputan media baru-baru ini dan tidak semestinya atas sebab yang baik, mungkin menggalakkan pembeli untuk meletakkan tawaran yang lebih rendah," katanya.

Menjaga Equanimity dalam keadaan baik akan menjadi faktor penting bagi memastikan harga jualan dapat ditawarkan dengan baik.

Difahamkan, susut nilai untuk kapal layar bagi tahun pertama adalah 20 peratus, tambahan lima peratus hingga 10 peratus untuk tahun kedua, tambahan lima peratus hingga tujuh peratus untuk tahun ketiga dan kemudian kira-kira lima tahun bagi tahun-tahun berikutnya.

Bagaimanapun, Equanimity (Cayman) Ltd, sebuah syarikat yang menuntut pemilikan kapal dan yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho yang kini menjadi buruan, mendakwa bahawa kapal layar mewah itu disimpan dalam keadaan yang tidak memuaskan.

Equanimity

Artikel Lain