suria

Pemandu Grab dipenjara empat bulan selepas gigit, pukul isteri

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Seorang pemandu Grab yang menggigit dan memukul  badan isteri kerana tidak menyediakan juadah berbuka puasa, dihukum  penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shahrin Mohd Mokhtar, 28, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan Safizamira Sebri, 24, dengan cara menggigit, memukul serta menampar wanita itu sehingga luka di bahagian tangan, muka dan perut.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Ibu tertuduh yang berada di galeri awam kelihatan menangis selepas mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas anak lelakinya.

Bapa anak satu  itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit di Koi Tropika Kondominium, Puchong, di sini pada 3 petang, 30 Mei lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Firdaous Mohamad Idris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setimpal mengambil kira mangsa merupakan isteri tertuduh.

"Saya mohon satu hukuman setimpal yang dapat menginsafkan tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang", katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menyesali perbuatannya dan perlu menanggung isteri dan anak yang berusia dua tahun selain ibu bapa yang sudah berusia.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian itu, isteri tertuduh berada di rumah kawannya sebelum lelaki berkenaan mengamuk dan memanggilnya pulang untuk menyediakan juadah berbuka puasa.

Setelah sampai di rumah mereka,  berlaku perselisihan faham  menyebabkan tertuduh bertindak melambung, menggigit perut dan menampar wanita itu. -Bernama

Suami mengamuk

Artikel Lain