suria

"Tak berselera, tapi tetap jamah sambal tumis telur" - Syafiqa Melvin

PETALING JAYA: Pemergian bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman ternyata memberi tamparan hebat buat ahli keluarganya terutama kerana budi pekerti allahyarham yang begitu disenangi ramai.

Kesayuan itu diakui sendiri oleh isterinya, Datin Seri Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, 28, yang tidak menyangka akan kehilangan lelaki yang dikahwininya enam tahun lalu itu.

Menurutnya, mereka sekeluarga mencipta banyak memori manis dalam tempoh itu dan ia pastinya akan dikenang sampai bila-bila.

ARTIKEL BERKAITAN: Zainal Abidin Osman meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Zainal Abidin Osman disahkan hidap kanser darah Mac lalu

Sewaktu dihubungi mStar Online pada Selasa, Syafiqa sempat berkongsi detik sambutan kelahiran terakhir figura politik itu yang mesra disapa dengan panggilan Tok Non di Copenhagen, Denmark, pada Julai lalu.

"Biasanya kami bercuti dalam 12 hari sahaja, tapi pada Julai lalu dia nak pergi sampai 21 hari. Masa tu kami melancong ke Denmark, Sweden dan Norway.

"Masa hari lahir dia pada 13 Julai, saya masak hidangan kegemaran dia iaitu sambal tumis telur. Walaupun kurang berselera, tapi dia tetap makan.

"Pada masa itu, keadaan kesihatan dia memang tak menentu namun dia gagahkan diri juga untuk bercuti bersama keluarga," ujar Syafiqa.

Posting Syafiqa di laman Instagram yang mengucapkan selamat hari lahir kepada allahyarham, Julai lalu.

Dia yang juga juara program realiti Gadis Melayu musim ke-2 berkahwin dengan Zainal pada Julai 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata berusia lima dan dua tahun.

Allahyarham turut memiliki empat lagi anak bersama isteri pertamanya, Datin Shazarina Shamsuddin yang meninggal dunia pada 22 Disember 2010 akibat barah hati dan paru-paru.

Menurut Syafiqa yang juga kakak kepada pelakon Syatilla Melvin, allahyarham disifatkan sebagai suami terbaik dan begitu rapat dengan adik beradiknya.

"Dia memang sangat baik, pemurah dan penyayang. Malah adik beradik saya bukan sahaja anggap dia macam abang ipar, tapi sudah diibaratkan macam abang kandung," katanya.

Dalam pada itu, Syafiqa juga tidak menyangka yang Zainal akan meninggalkan mereka sekeluarga setelah disahkan menghidap kanser darah (multiple myeloma) pada Mac lalu.

Menurut Syafiqa, suaminya begitu komited menjalani rawatan dan optimis untuk kembali pulih seperti biasa.

Syafiqa tidak menyangka insan yang dikahwininya enam tahun lalu akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga dalam tempoh yang singkat.

"Dia tahu pasal penyakit tu pada bulan Mac. Namun, kesihatan dia mulai merosot sekitar Julai dan dia selalu keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Namun, dia mula tak sedarkan diri sewaktu berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) tiga minggu lalu sehingga dia meninggalkan kami buat selamanya," jelas Syafiqa lagi.

Foto kenangan Zainal sekeluarga.

Sekitar 2.07 pagi Isnin, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga pada usia 58 tahun di Hospital Ampang, Kuala Lumpur.

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Sungai Acheh, Nibong Tebal kira-kira pukul 5 petang hari yang sama.

Zainal Abidin yang merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah daripada 2006 hingga Mac 2008.

Artikel Lain