suria

Pencen dihapuskan berita palsu, tapi KJ harap jadi kenyataan!

PETALING JAYA: Bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin beranggapan berita tidak benar tentang pemansuhan bayaran pencen dan diganti dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tular di Twitter, menjadi kenyataan satu hari nanti.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, tindakan itu sebenarnya adalah satu keputusan yang betul kerana kos pembayaran pencen semakin meningkat saban tahun.

"Berita tidak benar. Tapi, ia sebenarnya satu keputusan betul.

"Semua penjawat awam sedia ada/pesara menerima pencen mengikut syarat perkhidmatan semasa.

"Tapi pengambilan baharu, pada satu peringkat, mesti berpindah ke skim KWSP.

"Kenapa? Kerana bil pencen semakin meningkat. Kini mencecah hampir RM20 bilion setahun," jelasnya melalui posting di Twitter pada Selasa.

Tweet balas oleh Khairy berhubung isu pemberhentian bayaran pencen terhadap penjawat awam bagi pengambilan baharu.

Beliau berkata demikian ketika membalas Tweet oleh Astro Awani yang menjelaskan bahawa artikel bertajuk 'Pencen akan dimansuhkan diganti dengan KWSP serta-merta' adalah palsu.

Gambar judul artikel tersebut telah disunting oleh pihak tidak bertanggung jawab untuk mengelirukan masyarakat.

Jelas Khairy, dengan jangka hayat rakyat semakin meningkat, maka bil pencen juga akan meningkat kerana ia perlu dibayar untuk tempoh yang lebih panjang.

Dakwanya, kerajaan Barisan Nasional sudah mengenal pasti tentang masalah itu ketika Transformasi Nasional 2050 dilancarkan.

Tambah beliau, negara seperti Singapura telah menghapuskan pencen seumur hidup untuk penjawat awam.

Bagaimanapun, Khairy mengakui keputusan itu bakal mendapat tentangan daripada Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), namun model pembayaran pencen tersebut adalah tidak mampan.

"Apa yang saya ingin katakan adalah pada satu peringkat, dihapuskan, pengambilan baharu akan menggunakan skim KWSP dan bukannya pencen lagi.

"Penjawat awam dan pesara sedia ada tidak perlu bimbang (tidak melibatkan mereka)," ujarnya.

Khairy Jamaluddin

Artikel Lain