suria

Penari, gadis kalung bunga jadi 'umpan'

Antara kesalahan sebuah pusat hiburan di Melaka yang menggaji warga asing tanpa kelulusan.

MELAKA: 'Memancing' pengunjung dengan godaan penari dan gadis kalung bunga sebagai tarikan utama.

Itu modus operandi sebuah pusat hiburan di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, yang digempur Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya menerusi Ops Gegar, awal pagi Khamis.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, operasi kira-kira pukul 1 pagi ini telah memeriksa seramai 240 orang dan hasilnya seramai 38 wanita dan lima lelaki warga asing telah ditahan.

"Antara yang ditahan ialah seorang wanita warga Thailand yang bekerja sebagai deejay dan tiga penari wanita warga Korea Selatan.

"Manakala selebihnya membabitkan pelbagai warganegara yang bekerja sebagai penari dan pelayan pelanggan," katanya.

Mustafar berkata, turut ditahan dua warga tempatan yang disyaki bekerja sebagai pengurus premis dan juruwang.

Katanya, sejumlah wang tunai berjumlah RM6,775 juga telah dirampas.

Mendedahkan tentang aktiviti di premis terbabit, Mustafar berkata, antara aktiviti yang telah dikenalpasti dilakukan oleh wanita warga asing ini adalah deejay, penari dan menjadi gadis kalung bunga dengan menerima tip antara RM50 sehingga RM2,000.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Kesemua tahanan berusia lingkungan 20 hingga 40-an akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umbu, Melaka. - Sinar Harian

gadis, bunga

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain