suria

'Yang tugas beli barang dapur masih saya'

Saifuddin Nasution Ismail.

SHAH ALAM: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan sehingga kini tugas ke pasar masih beliau 'pegang' meskipun kini bergelar menteri kabinet.

Katanya, tugas puluhan tahun dahulu kekal 'dijawatnya' meskipun beliau agak sibuk kini.

"Nama saya Saifuddin. Yang tugas beli barang dapur masih saya. Saya akan ke pasar TTDI dan Chow kit sampai hari ini," katanya menjawab soalan moderator Tan Sri Johan Jaaffar dalam program Bicara Minda di Dewan Karangkraf di sini, Khamis.

Beliau ditanya, Johan, bila kali terakhir beliau ke pasar basah bukan sebagai menteri.

Berkongsi lanjut, katanya apabila beliau ke pasar, beliau akan meminta pembantunya supaya menyenaraikan barang yang laris di pasar raya besar.

"Seperti Kicap Cap Udang, milo, sosej dan lain-lain. Percaya atau tidak, empat atau lima pasar raya besar saya pergi, 30 senarai barangan paling laris adalah sama. Apa yang paling laris mesti ada beras, minyak masak, sosej, mi maggi, ikan bilis..senarai sama.

"Jadi saya cakap pada diri sendiri, kalau inilah gayanya, paling minimum saya kata tiada kenaikan terhadap 30 barangan ini. 446 item barangan utama daripada enam kategori dilihat pegawai kita," katanya.

Jelasnya, satu pasar raya besar ada 30000 ke 40000 unit menyimpan stok (SKU). Pegawai pemantau akan lihat 446 item ini setiap hari," katanya. - Sinar Harian

Saifuddin Nasution, KPDNHEP

Artikel Lain