PETALING JAYA: Seorang gadis mendakwa nyaris terpedaya dengan individu dipercayai menyamar sebagai seorang kenalannya yang konon membantu sepupunya untuk melakukan kaji selidik kanser payu dara. Pada awalnya, gadis berusia 21 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Nur ini tidak menyedari helah individu tersebut kerana menyangka pelaku adalah kenalannya di sekolah menengah. "Mula-mula dia hantar mesej dekat WhatsApp. Dalam WhatsApp tu dia guna default picture (DP) kenalan (perempuan) saya. "Jadi saya tak syak apa-apa dan gambar dalam WhatsApp tu buat saya percaya dia adalah kenalan saya semasa di sekolah menengah," katanya ketika dihubungi mStar Online. Nur berkata, individu tersebut meminta kebenaran daripadanya untuk menjawab tinjauan berkaitan kanser payu dara yang dikendalikan sepupunya sempena Pink Oktober. "Dia kata kalau saya dah jawab tak boleh nak batalkan dah. Kemudian dia kata tinjauan itu ada hardcopy sahaja, softcopy berserta link tak ada. "Malah dia sanggup tanya saya satu persatu soalan yang kononnya disediakan untuk tinjauan tersebut," katanya. Menurut gadis dari Johor Bahru itu, individu tersebut terlebih dahulu memperkenalkan tajuk tinjauan yang kononnya dikendalikan sepupunya. "Tinjauan itu bertajuk 'Adakah pemakaian baju dalam menjadi faktor utama berlakunya kanser payu dara di kalangan wanita’? "Kemudian dia tanya soalan asas mengenai ketinggian, berat badan, saiz dan warna coli dan pernah tak mengalami kesakitan di bahagian payu dara," kata Nur. Nur tidak lagi mengesyaki apa-apa sehinggalah individu tersebut memintanya melakukan sesuatu yang pelik. Perkongsian di laman Twitter mengenai taktik licik sang pelaku yang berjaya memperdaya mangsa. "Saya jadi pelik apabila dia suruh saya ambil gambar setiap coli yang saya ada. Tapi waktu tu dia menyakinkan saya bahawa identiti saya dijamin selamat dan dirahsiakan. "Kemudian dia minta saya pakai setiap coli yang saya ada dan ambil gambar hanya fokus pada kawasan payu dara tanpa menunjukkan muka saya," katanya. Permintaan mengarut itu membuatkan Nur berfikir seketika. "Masa dia minta saya ambil gambar dengan coli saya dah syak sesuatu. Tapi sebelum tu saya dah hantar gambar coli ke WhatsAppnya. "Tidak lama lepas itu, saya padam semua mesej gambar coli yang saya dah hantar kepadanya dengan harapan dia tak sempat simpan semua gambar tersebut," katanya. Menyedari ada sesuatu yang tak kena, Nur segera menghubungi rakan-rakannya untuk bertanya mengenai perkara itu. "Saya terus tanya kawan-kawan. Mereka marah saya dan kata individu tersebut mungkin mahu memuaskan nafsunya. Waktu tu saya menangis sebab dah tak tahu nak buat apa. "Lagipun itu kali pertama saya didekati untuk melakukan tinjauan secara dalam talian. Tak sangka begini pula jadinya," kata bekas penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini. Menurut Nur, individu tersebut sangat licik kerana dia berpura-pura mengenali mangsa sehingga membuatkan dirinya percaya dengan tinjauan palsu tersebut. "Dia siap sebut nama sebab itu saya percaya. Waktu dia tanya tu pun saya baru balik dari pejabat, jadi saya tergesa-gesa jawab chat dia," katanya. Sebaik sahaja mengetahui dirinya nyaris tertipu, Nur segera menghubungi kenalannya yang gambarnya digunakan individu tidak bertanggungjawab itu. "Saya tanya kawan-kawan saya nombor telefon kenalan saya tu. Saya WhatsApp dia tanya mengenai perkara tu. "Alangkah terkejutnya dia apabila mengetahui perkara itu. Dia pun bengang juga. Masa tu saya menangis sebab rasa macam bodoh dan percaya dengan taktik kotornya," katanya. Namun Nur berkata, insiden tersebut masih lagi menghantuinya sehingga hari ini. "Insiden itu berlaku pada pukul 5 petang, 14 Oktober lalu. Sejak dari itu saya jadi takut... takut jadi apa-apa pada diri sendiri. "Jadi saya deactive semua akaun media sosial saya," katanya. Menurut Nur, seorang lagi seniornya di sekolah menengah turut mengalami insiden sama sepertinya. "Senior saya beritahu dia pun kena kes serupa macam saya kerana soalan yang ditanya lebih kurang sama. "Jadi kami juga percaya individu tersebut adalah orang yang sama," katanya. Susulan insiden itu, Nur berkata dia kini lebih berhati-hati di media sosial. "Insiden itu menjadi pengajaran kepada saya. Saya jadi lebih berhati-hati. Saya buat status privasi pada semua akaun media sosial saya. "Saya juga tapis pengikut saya dan tak jawab mesej atau panggilan daripada mana-mana nombor yang tidak dikenali," katanya. Insiden menimpa Nur menjadi tular di media sosial selepas bebenang mengenai taktik licik pelaku tersebut dimuat naik rakannya di Twitter. Rata-rata netizen bersimpati dengan nasib Nur dan terdapat beberapa gadis lain turut mendedahkan mereka juga pernah melalui insiden seperti itu. "Eh awak... saya prnah kena juga. Time tu kat IPTA Dungun. Tak tahu dia dapat dari mana nombor saya. Then suruh saya hantar gambar muka ukuran pasport. Dia cakap dia doktor kat Dungun. Dia nak tolong saya untuk check penyakit yang selalu serang wanita. Yang tak masuk akal dia suruh ambil gambar t**** tanpa nampak muka," tulis seorang pelayar Twitter.