suria

‘Lumba haram ibarat minta mati' - luahan mat rempit insaf

Mamat dan Boy ambil keputusan untuk 'cuci tangan' dan mencari pekerjaan sebenar demi masa depan. (Gambar Hiasan)

SAYA dah serik dan insaf. Setiap tahun ada saja kawan-kawan mati akibat lumba haram.”

Luah Mamat (bukan nama sebenar) yang mengakui mula merempit seawal usia 13 tahun.

Katanya, kehilangan 10 rakan termasuk kawan baik akibat lumba haram membuatkan dia trauma, memikirkan siapa seterusnya bakal hilang nyawa akibat aktiviti haram dan berbahaya itu.

Pernah dia terfikir, adakah dirinya mangsa seterusnya? Apa perasaan ibu-bapa dan di mana maruah keluarganya tercampak jika dia korban aktiviti haram?

“Merempit ni macam minta mati, sampai bila mahu tagih nyawa?,” katanya.

Biarpun ketagihan merempitnya masih tegar, Mamat nekad meninggalkan aktiviti tersebut.

Dia tidak mahu trauma itu terus menghantuinya dan mahu kembali kepada kehidupan normal.

Nekad berubah setelah ramai kawan yang terkorban akibat 'hobi' itu.

“Saya ambil keputusan ‘cuci tangan’. Dah lebih 10 orang termasuk kawan baik terkorban. Saya tak mahu lagi terjerat.

"Sebelum ini saya pernah berlumba haram jadi joki, pamer kemahiran di atas jalan raya sekitar bandar Temerloh,” katanya.

Jelasnya, fizikalnya yang kecil selain kemahiran yang ada menjadikan dirinya sebagai pilihan untuk bergelar joki.

Ujar anak sulung daripada dua beradik itu pelbagai pengalaman pahit telah ditempuhi sepanjang terlibat dalam gejala tersebut.

“Pernah juga kemalangan tetapi mungkin ALLAH masih sayang, umur panjang, selamat lagi hingga ke hari ini.

“Bila fikirkan balik, memang saya rasa kesal sangat sebab dah banyak susahkan keluarga buat mak ayah susah hati.

“Mak paling gembira dengan perubahan ini. Dan beberapa bulan ini saya cari duit sendiri kerja di pusat mencuci kenderaan,” katanya.

Malah ketika ditemui,dia menyatakan ia adalah hari terakhirnya bekerja kerana akan menyertai kursus dan bakal bergelar seorang anggota badan beruniform selepas ini.

Sementara itu, Boy (bukan nama sebenar) turut mengikuti jejak Mamat, meninggalkan pentas lumba haram dan tidak mahu lagi terjebak dengan gejala negatif itu.

Menurutnya,melihat kejayaan rakan sebaya yang menyambung pengajian di institusi awam dan swasta selain berjaya memiliki kenderaan sendiri menyebabkan dia sedikit cemburu dan sedar hobi berlumba haram itu tidak membawa ke tahap mana-mana.

“Sampai bila, sedangkan usia terus meningkat. Nak juga ada lesen,kereta sendiri.

“Selama ini saya guna motosikal orang lain.Jadi joki mereka, berlumba haram di lebuhraya dan sekitar bandar ini.

“Saya insaf dan sedar jika diteruskan saya tak boleh berjaya macam rakan-rakan lain,” tegasnya.

Menurutnya, dunia mat rempit dahulu berbeza berbanding zaman sekarang.

“Dulu kami cari duit sendiri,tak susahkan orang,tak macam sekarang kes mencuri sangat tinggi sebab nak dapatkan barang ganti motosikal.

“Tapi saya tak nafikan, masalah sosial lain, main perempuan macam bawa balik bohsia, lumba haram, disko, bertaruh itu perkara biasa.

“Memang tak minat dah belajar ketika itu dan sedar dengan kemampuan diri, dari saya bazirkan duit keluarga baik berhenti,” katanya.

Bagi Mamat dan Boy, mereka bersyukur dengan keputusan yang dibuat.

Mereka kini menuju kehidupan baharu, mahu mengumpul duit secara halal dan teruja mengejar kejayaan seperti remaja seusia mereka.

Sekali imbas, Mamat dan Boy sama seperti remaja lain yang pada peringkat ini aktif, penuh bertenaga mengatur langkah awal kehidupan dan mengejar cita-cita.

Namun, di sebalik perwatakan yang sentiasa ceria, tiada siapa menyangka dua rakan seusia ini menyimpan kisah silam yang gelap dan penuh berliku.

Tercicir alam persekolahan di usia 13 tahun, kedua-dua mereka mengaku tersalah memilih kawan dan terjerat dalam ghairah anak muda baru mengenal dunia yang akhirnya membawa mereka terjebak dengan gejala merempit dan lumba haram.

Kelabu mata dengan wang ringgit hasil menang lumba haram mengheret mereka terus hanyut dengan dunia merempit.

Bagaikan satu ketagihan, Mamat dan Boy tidak mempedulikan nyawa sendiri demi melampiaskan keinginan berlumba haram.

Puas dan megah! Itu mereka rasa setiap kali menang pertaruhan.

Namun, mereka bersyukur ‘kegilaan’ itu tidak panjang selepas tersentak dengan kehilangan nyawa ramai teman akibat maut ketika berlumba.

Kejadian itu menginsafkan mereka sebelum mengambil keputusan ‘cuci tangan’ dan tidak lagi mahu digelar mat rempit.- Sinar Harian.

Rempit, Joki, Insaf

Artikel Lain