suria

Bersih 2.0 mahu pegawai pengurus SPR DUN Rantau didakwa

PETALING JAYA: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mahu pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas di kerusi DUN Rantau didakwa atas kesalahan perlanggaran tugas.

Dikatakan, Amino Agus Suyub perlu didakwa di bawah Seksyen 4(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana melanggar tugas rasminya.

Di bawah akta tersebut, mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan/ atau didenda sehingga RM5,000.

"Menghalang pencalonan Dr S. Streram semasa Pilihan Raya Umum ke-14 jelas satu penyalahgunaan hak perlembagaan beliau untuk menjadi calon pilihan raya dan hak para pengundi untuk memilih calon.

"Ini amat penting memandangkan pas kemasukan ke pusat pencalonan bukanlah satu keperluan di bawah peraturan pilihan raya," kata Bersih 2.0 dalam satu kenyataan sambil mengalu-alukan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya untuk membatalkan keputusan pilihan raya DUN Rantau pada Jumaat.

Mahkamah Khas Pilihan Raya pada Jumaat memutuskan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu di sini pagi Jumaat selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen Dr S. Streram dan peguam responden, yang berlangsung selama 12 hari melibatkan 19 saksi perbicaraan.

Azimah dalam penghakimannya berkata tidak wujud sebarang undang-undang pilihan raya yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan. - The Star/Bernama

SPR

Artikel Lain