suria

Harga petrol kekal, diesel naik 1 sen

HARGA runcit petrol RON97 dan RON95 dikekalkan, masing-masing pada harga RM2.28 dan RM1.98 seliter, mulai 26 Januari hingga 1 Februari ini.

Sementara itu, harga runcit diesel dinaikkan sebanyak satu sen iaitu daripada RM2.17 kepada 2.18 seliter bagi tempoh yang sama.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, penetapan harga runcit produk petroleum bagi minggu tersebut (26 Januari-1 Februari) adalah mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

"Harga produk yang diproses di pasaran dunia bagi diesel ketika ini pada paras AS$73 (RM301) setong berbanding RON95 iaitu pada AS$62 (RM256) setong.

"Perbezaan kos produk yang lebih tinggi bagi diesel berbanding petrol disebabkan oleh peningkatan permintaan bagi produk diesel, terutama dari negara China, dan juga peningkatan pengeluaran produk di pasaran global," menurut kenyataan itu pada petang Jumaat.

Bagaimanapun seperti yang dijanjikan, ia memberitahu, kerajaan akan menstabilkan harga jualan runcit bagi RON95 dan diesel dengan mengekalkan harga jualan runcit masing-masing pada paras RM2.20 dan RM2.18 seliter sekiranya harga pasaran produk melebihi paras harga tersebut.

Minggu lalu, harga runcit RON97 dan RON95 naik enam sen kepada RM2.28 dan RM1.98 seliter masing-masing manakala harga diesel naik 12 sen kepada RM2.17 seliter dari 19 hingga 25 Januari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain