suria

Didakwa cemarkan surau, curi berhala... lelaki diarah dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan mental

Helmee Othman (kiri, baju merah) didakwa meletakkan berhala di sebuah surau. Foto K K SHAM

SEORANG lelaki berusia 37 tahun didakwa di mahkamah majistret di Klang kerana meletakkan tiga berhala di sebuah surau, minggu lalu.

Helmee Othman didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina tempat ibadat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di surau Sabilul Huda di Taman Pendamar dekat Klang, minggu lalu.

Dalam pertuduhan pertama yang dibacakan di hadapan majistret Roslizi Sulaiman pada Rabu, Helmee didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 4 petang dan 4.15 petang pada 20 Februari di surau tersebut.

Dalam pertuduhan kedua, yang dibacakan di hadapan majistret Muhammad Azzam Zainal Abidin di mahkamah lain, dia didakwa meletakkan lebih banyak berhala di surau yang sama antara pukul 2.30 petang hingga 2.45 petang pada 23 Februari.

Helmee turut didakwa mencuri berhala pada 20 Februari. Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Dia berdepan dengan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 295. 

Selain itu, dia juga boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah mencuri berhala.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Helmee diwakili oleh Nur Aida Md Zainuddin, manakala kes didakwa oleh Mohd Fairuz Johari.

Nur Aida memberitahu mahkamah bahawa Helmee perlu menjalani pemeriksaan mental sebelum pengakuannya direkodkan.

"Seseorang yang berada dalam fikiran yang waras tidak akan melakukan apa yang dilakukannya, memandangkan ia merupakan tindakan yang sangat sensitif," katanya.

Sementara itu, Mohd Fairuz berkata, pendakwaan mempunyai budi bicara untuk menghantar tertuduh untuk menilai kesihatan mentalnya.

"Tetapi pada peringkat ini tidak ada bukti dalam bentuk dokumentasi atau lain-lain untuk menyatakan bahawa dia mempunyai masalah mental," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Fairuz menyerahkan budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.

Hakim, Muhammad Azzam mengarahkan Helmee dihantar untuk pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak.

Sementara itu, Roslizi menetapkan 27 Mac depan untuk laporan status kesihatan mental Helmee untuk dinilai di mahkamah. - The Star

Helmee Othman, berhala

Artikel Lain