SEORANG penganggur berusia 68 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur berhubung imej yang dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW, yang dimuat naik di akaun Facebooknya. Wai Foo Sing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, M.M Edwin Paramjothy di Kuala Lumpur pada Rabu. Menurut pertuduhan pertama, Foo Sing didakwa memuat naik posting yang boleh menggugat keharmonian antara orang Islam dan bukan Islam di akaun Facebook, di bawah nama 'Foo Sing Wai' pada pukul 5 petang, 17 Februari lalu. Pertuduhan di bawah Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara antara dua dan lima tahun jika disabitkan bersalah. Mengenai pertuduhan kedua, Foo Sing didakwa memuat naik kandungan yang bersifat menghina di bawah profil Facebook yang sama, 'Foo Sing Wai' dengan niat untuk mengganggu mana-mana individu, didakwa dilakukan pada hari sama. Pertuduhan itu di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998, membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh dikenakan denda RM1,000 untuk setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan. Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal tidak menawarkan jaminan kerana ia merupakan kesalahan yang tidak boleh diterima. Bagaimanapun, dia mencadangkan bayaran ikat jamin tidak kurang daripada RM30,000 sekiranya mahkamah membenarkan jaminan itu. "RM30,000 bukan satu jumlah yang banyak dengan mempertimbangkan seriusnya kesalahan yang didakwa terhadap tertuduh," katanya. Foo Sing yang tidak diwakili peguam merayu supaya bayaran ikat jamin dikurangkan, dengan memberi alasan bahawa dia menganggur dan menghidap penyakit diabetis. "Anak lelaki saya akan mengikat jamin saya tetapi saya tidak pasti berapa banyak wang yang dia ada," katanya. Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000. Sebutan kes ditetapkan pada 5 April depan. - The Star